Tebus kasih ibu selepas tujuh tahun di tirai besi

KOTA KINABALU - Selepas tujuh tahun hidup di sebalik tirai besi, kerinduan seorang ibu akhirnya bakal terubat apabila akan menghabiskan hukuman yang berbaki kira-kira empat bulan lagi.
Yayan (bukan nama sebenar), 27, yang akan dilepaskan dari Penjara Wanita Kota Kinabalu (PWKK) pada Mei ini merancang untuk kembali ke pangkuan anak lelakinya yang kini berusia tujuh tahun.
Katanya, dia mahu menebus semula masa yang hilang sepanjang tujuh tahun menjalani hukuman selepas disabitkan kesalahan pengabaian anak tirinya sehingga meninggal dunia.
"Sebaik keluar nanti saya mahu tebus semua masa yang telah berlalu supaya anak saya dapat merasai kasih sayang sebagai ibu. Saya mahu tangan saya sendiri menguruskannya ke sekolah dan menyuapkan sendiri makanan ke mulutnya setiap hari.
"Sudah lama saya tunggu saat ini, Insya-ALLAH bulan Mei ini saya akan bersamanya semula," katanya ketika ditemui Sinar Harian di PWKK pada Majlis Jalinan Kasih Krismas dan Tahun Baharu Cina di PWKK, pada Jumaat.
Yayan antara prospek yang terpilih mengadakan persembahan tarian untuk tetamu yang hadir dan diraikan pada majlis sambutan dua perayaan itu di PWKK.
Diminta berkongsi bagaimana dia disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, Yayan memaklumkan kejadian itu berlaku ketika arwah anak tirinya berusia lapan.
"Sebelum saya berkahwin dengan suami, memang saya yang mengasuh anak tiri sejak dia berusia lima tahun. Kejadian itu berlaku pada tahun 2018 ketika anak tiri saya mengalami demam panas selama tiga hari.
"Saya dan suami hantar ke hospital dan perkara itu turut dimaklumkan kepada ibu kandungnya. Bagaimanapun, anak tiri saya disahkan meninggal dunia.
"Susulan daripada itu, kami berdua pada awalnya dituduh mendera arwah tetapi selepas laporan bedah siasat keluar, pertuduhan ditukar selepas disahkan meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada paru-paru," katanya.
Ceritanya lagi, ketika ditahan polis dia sedang sarat mengandung dan sedang menunggu masa untuk melahirkan anaknya itu.
"Tidak lama kemudian saya melahirkan anak dan hanya dapat menyusukannya selama seminggu sahaja sebelum dijaga oleh mentua.
"Mengenangkan saya yang masih dalam keadaan berpantang dan terpaksa ditahan di lokap untuk siasatan ketika itu, saya reda melepaskannya.
"Alhamdulillah, mujur sepanjang berada di sini keluarga mentua sangat memahami dan sentiasa membawa anak melawat saya dan suami di penjara tanpa memberitahu bahawa kami sebenarnya sedang menjalani hukuman," katanya.
Katanya lagi, sepanjang dia berada di penjara banyak yang dipelajari dan kehidupannya berubah 360 darjah termasuk berpeluang mendalami ilmu agama.
"Alhamdulillah, saya berharap keluar nanti saya harap dapat bimbing anak saya dengan lebih baik berbekalkan ilmu yang diperoleh sepanjang berada di sini," katanya.

Sementara itu, Pengarah PWKK, Noor Sazlawati Zakaria ketika ditemui dalam program tersebut memaklumkan bahawa PWKK mahu memastikan prospek masih berada dalam kalangan masyarakat walaupun terpisah daripada tembok.
"Walaupun prospek berada di sebalik tembok penjara namun kita tidak mahu mereka tidak merasai semangat berkomuniti sebaliknya biarlah mereka bersama-sama merasai meriahnya sambutan perayaan di negara ini," katanya.
Katanya lagi, walaupun baharu saja meneraju PWKK namun beliau berhasrat untuk memastikan prospek terus diberi sokongan moral tidak kira dari masyarakat atau ahli keluarga mereka sendiri.
"Saya akan meneruskan apa yang telah dilakukan sebelum ini dan akan melihat jika perlu ada yang ditambah baik untuk kebaikan bersama dalam PWKK ini," katanya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!