Syarikat konsesi lebuh raya patut tanggung separuh diskaun tol - Chean Chung

SHAH ALAM - Syarikat konsesi lebuh raya patut menanggung separuh daripada kos pemberian diskaun tol 50 peratus dan bukannya bergantung kepada subsidi kerajaan semata-mata.
Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung berkata, gesaan itu perlu dibuat sekali lagi memandangkan banyak syarikat konsesi menikmati keuntungan selama beberapa dekad contohnya Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) yang mengenakan kutipan tol sejak 1988 dan sudah beroperasi selama 37 tahun.
Menurut beliau, berdasarkan Perjanjian Konsesi terkini, kutipan tol akan berterusan sehingga 2058 iaitu sekitar 33 tahun lagi.
“Begitu juga Lebuhraya Pantai Timur (LPT) yang beroperasi sejak 2004 mempunyai konsesi sehingga 2069.
"Justeru, sudah tiba masanya syarikat konsesi lebuh raya ini berkongsi kos diskaun tol sebagai salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka,“ katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Sinar Harian melaporkan, kerajaan bersetuju memberikan pengurangan tol 50 peratus daripada kadar biasa sempena perayaan Tahun Baharu Cina 2025 bagi semua kenderaan Kelas 1 (persendirian) pada 27 dan 28 Januari ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan, diskaun akan bermula jam 12.01 tengah malam pada 27 Januari (Isnin) dan berakhir jam 11.59 malam pada 28 Januari (Selasa) dengan peruntukan bayaran pampasan kepada syarikat konsesi tol yang terlibat dianggarkan sebanyak RM20.08 juta.
Jelasnya, pengurangan tol 50 peratus dipersetujui dalam Mesyuarat Kabinet dan akan dilaksanakan di semua plaza tol kecuali di sempadan negara iaitu Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) serta Plaza Tol Tanjung Kupang Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).
Dalam pada itu, Chean Chung berpandangan, subsidi kerajaan untuk diskaun tol tidak disediakan secara percuma kerana mengambil kira kewangan negara lebih RM100 juta setiap tahun.
Tambahnya, pada masa hadapan, Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang bernilai RM75 bilion pula dijangka siap menjelang akhir 2026.
“Sementara itu, Kementerian Pengangkutan (MoT) sasar mahu meningkatkan jumlah penumpang Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) daripada 30 peratus kepada 80 peratus menjelang 2030, terutamanya meliputi Pantai Barat.
“Oleh itu, saya mencadangkan agar kerajaan menghentikan subsidi tol perayaan secara beransur-ansur menjelang 2027, tiga tahun selepas sistem pengangkutan awam seperti ECRL dan KTM dijangka bertambah baik dengan ketara.
“Peralihan ini bukan sahaja mengurangkan kesesakan di lebuh raya, tetapi rakyat juga ada pilihan untuk pulang ke rumah dengan kos efektif.
“Semasa menyambut Tahun Baharu Cina, marilah kita berusaha menjadi warganegara yang bertanggungjawab dan proaktif di samping menerima perubahan positif,“ ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!