Penjimatan mansuh tol percuma: Kerajaan perlu naik taraf pengangkutan awam

Penjimatan pemansuhan tol percuma yang dianggarkan sebanyak RM20 juta sehari atau hampir RM200 juta setahun perlu digunakan untuk penambahbaikan pengangkutan awam. Gambar hiasan
Penjimatan pemansuhan tol percuma yang dianggarkan sebanyak RM20 juta sehari atau hampir RM200 juta setahun perlu digunakan untuk penambahbaikan pengangkutan awam. Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Penjimatan pemansuhan tol percuma yang dianggarkan sebanyak RM20 juta sehari atau hampir RM200 juta setahun perlu digunakan untuk penambahbaikan pengangkutan awam khususnya perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) dan transit aliran massa (MRT).

Timbalan Ketua Pemuda MCA, Mike Chong Yew Chuan berkata, kebelakangan ini, laman media sosial Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menerima aduan daripada pengguna berhubung sistem LRT dan MRT yang sering dibelenggu masalah kelewatan, kesesakan, kerosakan dan juga keselamatan.

Menurutnya, perkara itu pernah ditekankan bekas Menteri Pengangkutan, Seri Dr Wee Ka Siong pada Oktober 2022 yang meminta Prasarana memberi tumpuan kepada kerja penyelenggaraan secara berkala bagi mengelakkan gangguan perkhidmatan khususnya semasa waktu puncak.

"Keselamatan di sekitar kawasan pengangkutan awam juga harus dipertingkatkan dan penjimatan wang dapat digunakan untuk menambah anggota keselamatan Prasarana di kawasan titik panas jenayah.

"Selain memastikan keselamatan pengguna di dalam stesen dan tren, pengawal keselamatan juga boleh ditugaskan di luar stesen.

"Kedua-dua langkah ini akan membolehkan rakyat melihat dan merasai sendiri bahawa kerajaan mengutamakan kehendak rakyat dan sentiasa mendengar keluhan mereka," jelasnya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini, kerajaan dijangka dapat menjimatkan RM190 juta setiap tahun selepas menghentikan pengecualian tol semasa musim perayaan.

Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi berkata, keputusan itu membuka jalan kepada pendekatan yang lebih bersasar untuk menyalurkan subsidi kepada golongan berpendapatan rendah.

Artikel Berkaitan:

Tambah Yew Chuan, kerajaan diharap dapat memastikan bahawa penjimatan ini dibelanjakan untuk kebaikan dan dapat dirasai rakyat.

"Justeru, kerajaan dicadangkan menggunakan penjimatan wang untuk memberi tumpuan terhadap penyelenggaraan tren.

"Sebagaimana pelaksanaan rasionalisasi subsidi diesel, walaupun kerajaan mendakwa dapat menjimatkan sehingga RM7.5 bilion, tetapi rakyat mengeluh harga barangan tetap naik akibat kos pengangkutan yang lebih mahal," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!