'Perincikan mekanisme tol percuma, bukan sekadar umum' - Cake

Laporan Sinar Harian berkaitan diskaun tol sempena Tahun Baharu Cina
Laporan Sinar Harian berkaitan diskaun tol sempena Tahun Baharu Cina
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan sewajarnya memperincikan terlebih dahulu mekanisme pemberian tol percuma secara bersasar dan bukan sekadar mengumumkan lebih awal.

Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, pengumuman awal hanya akan menimbulkan kecelaruan dalam kalangan rakyat selain menunjukkan kerajaan belum bersedia melaksanakannya.

Menurutnya, pengumuman serentak pemansuhan tol percuma pada musim perayaan dan mekanisme baharu lebih bersasar hanya kenyataan untuk menutup kelemahan diri.

“Sepatutnya buat dahulu baru umum. Jangan umum dahulu sebelum fikirkan mekanisme yang sesuai. Ia akan membuatkan rakyat tertanya-tanya malah timbul kecelaruan berkaitan isu tersebut, khususnya pengguna yang sering gunakan lebuh raya,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Mohamad Yusrizal berharap kerajaan akan segera mengemukakan mekanisme bersesuaian dengan turut mengambil kira pandangan pakar.

“Bagaimana untuk laksana secara adil, agak kurang relevan untuk laksana tol bersasar. Mungkin rakyat juga keliru dan tidak dapat membayangkan kaedah terbaik agar tindakan itu tidak merugikan rakyat,” katanya.

Pada Khamis, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, kerajaan sedang memperincikan pendekatan lebih bersasar untuk pemberian tol percuma pada musim perayaan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, langkah ini selaras dengan usaha penyelarasan subsidi sebelum ini, yang menumpukan bantuan kepada golongan B40 dan M40 tanpa melibatkan semua pihak secara menyeluruh.

Artikel Berkaitan:

Perkara berkenaan sedang diperincikan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, yang sebelum ini menyatakan prinsip asas bahawa subsidi tidak boleh diteruskan untuk semua, seperti subsidi elektrik dan minyak.

Dalam pada itu, Mohamad Yusrizal berharap kerajaan masih mempertimbangkan pemberian tol percuma pada masa-masa tertentu.

“Rakyat sudah biasa diberikan tol percuma pada musim perayaan selama dua tahun. Bila tiada lagi tol percuma, mereka mengharapkan diberikan ‘gantian’ bagi mengurangkan kos perjalanan.

“Tol percuma merupakan ehsan kerajaan kepada pengguna lebuh raya yang mahu pulang ke kampung, apabila pengecualian tol tidak lagi diberikan, maknanya tiada lagi ehsan tersebut,” ujarnya.

Menurutnya, pemansuhan tol percuma mempunyai kesan positif mahupun negatif terhadap negara dan rakyat.

“Contohnya, apabila tidak ada tol percuma lagi kos warga kota untuk pulang ke kampung meningkat beberapa peratus. Kos tersebut terpaksa ditanggung sendiri.

“Sementara dari aspek positif, kemungkinan ia dapat mengurangkan kesesakan atau terkandas beberapa jam apabila semua berpusu-pusu gunakan lebuh raya bila ada tol percuma kerana mahu berjimat,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!