Bukan mengejutkan PATI tinggal lama di Malaysia

TULAR sebuah video di TikTok baru-baru ini memaparkan seorang lelaki warga asing yang mendakwa telah berada di Malaysia selama enam tahun tanpa sebarang dokumen sah.
Ketika ditanya oleh sekumpulan lelaki tempatan, lelaki yang dipercayai berasal dari Bangladesh itu juga mengaku bekerja di beberapa premis di ibu negara tanpa permit yang sah.
Pendedahan lelaki terbabit yang dipercayai dibuat ketika berada di Arab Saudi bukanlah sesuatu yang mengejutkan.
Namun, ia mengundang kebimbangan bukan sahaja kerana melibatkan isu keselamatan tetapi menunjukkan ketirisan dalam penguatkuasaan undang-undang imigresen negara kita.
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagaimanapun bertindak pantas mengenal pasti identiti lelaki tersebut dan mengesahkan dia telah keluar dari negara ini pada tahun 2021.
Bagaimanapun, kita berharap pihak berkuasa tidak hanya bertindak apabila kes seperti ini tular di media sosial. Isu pendatang asing tanpa izin (PATI) bukan perkara baharu dan tindakan tegas berterusan perlu dilaksanakan untuk memastikan negara tidak terjebak masalah yang lebih besar.
Kebanjiran warga asing tanpa dokumen sah bukan sahaja merugikan negara dalam bentuk kehilangan hasil cukai dan sumbangan ekonomi yang sah, tetapi turut memberi kesan buruk kepada rakyat tempatan.
Infrastruktur awam yang sepatutnya dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat Malaysia digunakan oleh segelintir PATI, sekali gus mengganggu keselesaan warga tempatan.
Selain itu, kehadiran PATI juga telah menyebabkan peningkatan dalam kes jenayah yang membimbangkan. Ini kerana tidak semua pendatang asing datang dengan niat yang baik, sesetengahnya terlibat dalam aktiviti jenayah yang merugikan negara.
Lebih serius lagi, kebanjiran PATI menimbulkan ancaman keselamatan kepada rakyat tempatan, yang berisiko menjadi mangsa kepada kegiatan jenayah seperti penyeludupan, pemerdagangan manusia dan penipuan.
Keadaan ini jika tidak dikawal boleh membawa kesan buruk kepada keharmonian dan keamanan negara.
Oleh itu, adalah penting bagi pihak berkuasa mengambil langkah yang lebih berkesan untuk mengekang masalah ini dan memastikan hanya mereka yang sah dan patuh kepada undang-undang sahaja boleh berada di negara ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
