Lelaki Bangladesh tular telah keluar dari negara pada 2021 - JIM

SHAH ALAM - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengesahkan lelaki warga Bangladesh yang tular mendakwa berada di Malaysia tanpa dokumen sah telah keluar dari negara pada 2021.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, berdasarkan maklumat pihaknya telah kenal pasti identiti lelaki terbabit.
"Lelaki warga Bangladesh itu dikesan telah keluar dari Malaysia pada 2021.
"Tiada rekod lelaki itu memasuki Malaysia semula selepas itu dan berdasarkan rekod juga dia memiliki pas lawatan kerja sementara (PLKS) yang sah sehingga 2 April 2022," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Zakaria berkata, pihaknya menggesa masyarakat untuk menyalurkan maklumat berhubung isu pendatang asing tanpa izin (PATI) agar tindakan dapat diambil segera.
Jelasnya, JIM memandang serius sebarang isu melibatkan PATI.
"Kita akan terus meningkatkan operasi penguatkuasaan dan mengambil tindakan ke atas mana-mana warga asing yang melakukan kesalahan imigresen seperti tiada dokumen yang sah," katanya.
Sebelum itu, satu rakaman video tular di aplikasi sosial TikTok memaparkan pertanyaan daripada kumpulan lelaki tempatan terhadap seorang warga asing disyaki Bangladesh semasa dipercayai berada di Arab Saudi.
Berdasarkan rakaman video itu, lelaki asing itu mendakwa berada di Malaysia selama enam tahun tanpa permit dan dokumen sah.
Lelaki asing itu juga mendakwa bekerja di beberapa premis bangunan di sekitar ibu negara.
Akhir perbualan itu disambut dengan gelak tawa kumpulan terbabit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!