'Tolong hentikan tohmahan, kami bukan pembuli' - Mangsa kebakaran Kupang

BALING - Mangsa kebakaran di Kupang mendakwa tidak pernah membuli suspek yang ditahan polis, sekali gus meminta agar tohmahan terhadap mereka dihentikan.
Adnan Hassan, 40, mendakwa, dia tidak mengenali langsung lelaki tersebut, malah tidak pernah bekerja di kilang yang sama.
"Tolong hentikan tohmahan, kami bukan pembuli, kami tak kenal pun... sudah 12 tahun saya kerja di sebuah kilang di Kulim, saya tidak tahu apa motif bakar rumah saya, tetapi ke mana sahaja pergi, kawan-kawan kata saya pembuli.
"Hidup saya dan isteri tertekan, sudahlah rumah kami termasuk tiga buah motosikal hangus terbakar, terpaksa pula hadap tohmahan orang ramai," katanya ketika ditemui di Kampung Tanah Periuk, Kupang, pada Khamis.
Seorang lagi mangsa, Ibrahim Ali, 59, berkata, tidak mengenali suspek dan bukan pekerja kilang bersama lelaki itu.
"Saya tidak kenal suspek, macam mana dikatakan kami membulinya, orang kampung tahu keadaan kami dan mereka faham tetapi bagi orang luar mereka akan tuduh kami pembuli," katanya.
Anaknya, Husna Shafinie Ibrahim, 29, pula memberitahu, setiap hari ada sahaja rakan media sosial 'tag' nama dengan mengatakan mereka pembuli.
"Sakit hati bila baca komen-komen yang tidak berhati perut, mencaci, saya kecewa kerana ia membabitkan maruah keluarga kami.
"Saya harap orang luar hentikan cemuhan kerana kita tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku terhadap suspek, jangan sebabkan dia, kami pula tertekan," katanya.

Sementara itu, bekas pekerja kilang getah, Mazlan Saad@Abu Bakar, 50, pula menjelaskan, suspek pernah mengadu dipukul di tempat kerja.
"Dia seorang yang lurus dan sangat rajin bekerja namun saya tak nafikan dia pernah mengadu dipukul di tempat kerja satu ketika dulu.
"Saya pernah pergi jumpa orang (pekerja) yang buat itu, (supaya) jangan buat dia (suspek) lagi kerana dia orang kampung saya," katanya masalah itu selesai secara baik.
Menurutnya, hubungan dengan suspek baik namun hairan dituduh pembuli sedangkan pernah membantunya.
"Dia panggil saya Abang Lan, kami memang tiada masalah di tempat kerja, namun saya berhenti kerja enam tahun lalu sebelum difahamkan dia juga berhenti kerja dua tahun lalu.
"Suspek memang ada masalah lembam tapi tak sangka dia boleh buat macam ni, kalau disebabkan dendam mustahil dia juga berdendam dengan saya kerana saya tak pernah buli dia, saya tolong dia adalah," jelasnya.
Dalam kejadian 24 Disember tahun lalu, tiga buah motosikal dan sebahagian kecil rumah kedai milik orang tuanya terbakar.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kenyataan Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh memaklumkan sembilan kebakaran di Kupang sejak Disember lalu hingga awal bulan ini dipercayai bermotifkan dendam akibat sering dibuli di tempat kerja.
Beliau berkata, suspek berusia 23 tahun itu juga penduduk Kupang ditahan kira-kira jam 12.30 tengah malam, Isnin lalu kerana terlibat dalam sembilan kes khianat dengan api.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!