'Saya tertekan, tak ada duit untuk upah peguam anak'

Laporan Sinar Harian mengenai kenyataan Fisol memaklumkan bahawa kebakaran di Kupang dipercayai bermotifkan dendam.
Laporan Sinar Harian mengenai kenyataan Fisol memaklumkan bahawa kebakaran di Kupang dipercayai bermotifkan dendam.
A
A
A

BALING - Ibu kepada lelaki ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam beberapa kes kebakaran di Kupang, mengesahkan anaknya sebelum ini berdepan masalah pembelajaran selain tidak suka kekerasan dan pernah menjadi mangsa buli sejak zaman sekolah sehingga berterusan di tempat kerja.

Wanita yang enggan identiti didedahkan itu mendakwa anak sulungnya dibuli sejak dulu sehingga bekerja di sebuah kilang pemprosesan getah di sini, sejurus tamat Sijil Pelajaran Malaysia.

“Pernah dia pulang dengan mulut berdarah dan mendakwa rakan sekerja menyumbat getah sekerap ke dalam mulut,” jelasnya dalam nada sebak.

Ibu kepada lima orang anak itu mendakwa walaupun anaknya telah berhenti kerja kira-kira dua tahun lalu tetapi masih dibuli bekas rakan sekerja.

Wanita itu mengakui bahawa anaknya telah mengalami kemurungan akibat kejadian buli dan kini bimbang selepas polis memanggil untuk dirakam keterangan anaknya empat kali untuk soal siasat sebelum penahanannya pada Ahad.

“Tolong biarkan kami, kami sudah tertekan sangat, saya tak ada duit untuk upah peguam untuk anak. Saya masih perlu bekerja untuk menyara suami yang strok dan tiga anak masih bersekolah.

"Saya tanya jika terlibat dalam kejadian kebakaran itu, tetapi dia menafikannya. Selepas ditangkap, saya diberitahu bahawa dia hanya mengaku terlibat dalam kebakaran pertama,” rayu wanita itu melalui tingkap dapur.

Katanya, turut terkejut apabila polis mengaitkan anaknya dengan sembilan kes kebakaran.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kenyataan Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh memaklumkan sembilan kebakaran di Kupang sejak Disember lalu hingga awal bulan ini dipercayai bermotifkan dendam akibat sering dibuli di tempat kerja.

Beliau berkata, suspek berusia 23 tahun itu yang juga penduduk Kupang ditahan kira-kira jam 12.30 tengah malam, Isnin lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!