Kerajaan Kedah pertimbang bantu mangsa kebakaran di Kupang

Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor
Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor
A
A
A

BALING - Kerajaan negeri akan mempertimbangkan pemberian sumbangan kepada mangsa kebakaran di Kupang di sini yang berlaku secara berturut-turut sejak bulan lepas.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kebakaran 10 kediaman yang berlaku dari 24 Disember 2024 hingga 12 Januari 2025 itu melibatkan kerugian mencecah RM791,000.

Beliau berkata, kejadian ini dipercayai berpunca daripada perbuatan khianat dan berlaku antara jam 9 malam hingga 4 pagi.

"Pejabat Daerah telah pun membuat permohonan kepada negeri untuk sumbangan kepada mangsa-mangsa kebakaran ini.

"Saya akan pertimbangkan bersama dengan Exco dalam mesyuarat akan datang untuk bantu khususnya rumah-rumah yang kerosakan total," katanya.

Muhammad Sanusi (dua kiri) ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Anugerah Pertandingan Kampung Sejahtera Negeri Kedah di Dewan Tuanku Haminah, Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UniSHAMS),di sini, pada Khamis.
Muhammad Sanusi (dua kiri) ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Anugerah Pertandingan Kampung Sejahtera Negeri Kedah di Dewan Tuanku Haminah, Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UniSHAMS),di sini, pada Khamis.

Beliau berkata sedemikian ketika sidang media selepas Majlis Penyampaian Anugerah Pertandingan Kampung Sejahtera Negeri Kedah di Dewan Tuanku Haminah, Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UniSHAMS) di sini pada Khamis.

Pada Isnin lepas, Sinar Harian melaporkan kebakaran terbaharu berlaku di Kupang membabitkan sebuah lagi rumah di Kampung Charuk Kapas lebih kurang jam 9.15 malam Ahad.

Artikel Berkaitan:

Kebakaran terbaharu itu menjadikan angka terkini sebanyak 10 kediaman musnah secara berturut-turut bermula 24 Disember 2024 hingga mencetuskan kebimbangan penduduk.

Kongsi Muhammad Sanusi, susulan kebakaran tersebut, mangsa terlibat kehilangan tempat tinggal hingga perlu menumpang di rumah saudara mereka.

"Saya bagi pihak kerajaan negeri merakamkan ucapan takziah kepada semua mangsa kebakaran dan berharap mereka bersabar dalam menghadapi dugaan ini.

"Insya-ALLAH, kerajaan akan ikhtiar untuk meringankan beban semua mangsa yang terbabit," katanya.

Beliau menambah, Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kupang telah mengaktifkan pos kawalan di kampung-kampung untuk membantu pihak berkuasa mengekang perbuatan khianat itu.

Dalam perkembangan sama, Muhammad Sanusi memberitahu, pihaknya akan mendapatkan perkembangan dan maklumat lanjut tentang kebakaran tersebut daripada polis.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!