Lima pusat cuci kereta warga asing disita

KUALA LUMPUR - Lima premis pusat cuci kereta dikendalikan warga asing di Wangsa Maju diambil tindakan sita serta-merta.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan, tindakan itu dijalankan di bawah UUK Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016 dan UUK Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016.
Menurutnya, tindakan sama turut dikenakan ke atas dua lagi penjaja warga asing yang menjalankan perniagaan menjual air kelapa dan pisang goreng.
"Kesemua barangan yang disita telah dibawa ke Setor Sitaan Jalan Lombong, Taman Miharja Cheras untuk tindakan rekod dan dokumentasi.
"DBKL akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari masa ke semasa di lokasi tumpuan yang telah dikenalpasti," katanya.
Sementara itu, dalam operasi berasingan, DBKL telah melakukan serbuan ke atas 12 kediaman yang dijadikan stor simpanan sayuran dan buah-buahan serta barangan runcit tanpa kebenaran di Taman Batu View, Pusat Bandar Utara, Pasar Borong Kuala Lumpur.

DBKL memaklumkan, pemeriksaan dijalankan jam 3 pagi, Khamis mendapati, rumah itu membuat penukaran kediaman kepada stor simpanan tanpa Perintah Pembangunan menerusi kesalahan di bawah Seksyen 26, Akta Perancangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) 1982.
Susulan itu menurutnya, sitaan dilakukan membabitkan barangan dan peralatan berkaitan serta dihantar ke stor sitaan untuk rekod dan dokumentasi.

"Operasi dan tindakan khas ini akan diteruskan dari masa ke semasa.
"DBKL mengingatkan mana-mana pemilik premis atau kediaman agar mematuhi syarat-syarat kegunaan tanah yang telah diluluskan," katanya.
Sebarang aduan, orang awam boleh berhubung atau menyalurkan maklumat di https://adukl.dbkl.gov.my/.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!