Sultan Selangor titah rakyat tunai zakat pendapatan melalui LZS

Sultan Sharafuddin (tengah) berkenan mencemar duli menyampaikan titah dalam majlis perasmian Menara Zakat Sultan Idris Shah pada Khamis.
Sultan Sharafuddin (tengah) berkenan mencemar duli menyampaikan titah dalam majlis perasmian Menara Zakat Sultan Idris Shah pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyeru umat Islam yang berkhidmat dan bekerja di negeri ini supaya menunaikan zakat pendapatan menerusi Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Baginda bertitah demikian demi memastikan kesejahteraan asnaf di Selangor dilindungi dan terpelihara.

Sultan Sharafuddin (duduk) berkenan mencemar duli menandatangi buku tetamu rasmi dalam majlis perasmian Menara Zakat Sultan Idris Shah pada Khamis.
Sultan Sharafuddin (duduk) berkenan mencemar duli menandatangi buku tetamu rasmi dalam majlis perasmian Menara Zakat Sultan Idris Shah pada Khamis.

"Zakat pendapatan hendaklah dibuat di tempat di mana kita berkhidmat dan mencari rezeki.

"Sekiranya zakat yang dikutip di Selangor diagihkan ke negeri dan tempat lain, beta bimbang negeri ini yang majoritinya melayu Islam dan lebih 79,000 keluarga asnaf fakir serta miskin yang berdaftar dengan LZS akan dinafikan hak mereka dan dizalimi tanpa kita sedari.

"Zakat adalah ibadah yang disyariatkan untuk mengangkat martabat umat Islam dan ia bukan sekadar ibadah individu tetapi satu sistem sosial yang menjaga hak-hak manusia, melindungi maruah serta menegakkan maqasid syariah khususnya dalam menjaga agama dan harta," titah baginda.

Sultan Sharafuddin (empat dari kiri) dan Tengku Permaisuri Norashikin (empat dari kanan) berkenan mencemar duli dalam majlis perasmian Menara Zakat Sultan Idris Shah pada Khamis.
Sultan Sharafuddin (empat dari kiri) dan Tengku Permaisuri Norashikin (empat dari kanan) berkenan mencemar duli dalam majlis perasmian Menara Zakat Sultan Idris Shah pada Khamis.

Sultan Sharafuddin bertitah demikian ketika berkenan mencemar duli bagi menyempurnakan perasmian Menara Zakat Sultan Idris Shah di sini pada Khamis.

Turut berkenan berangkat, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan diiringi Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Haris Kasim serta tetamu kehormat lain.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin turut mengingatkan kepada LZS bahawa agihan zakat perlu disalurkan kepada golongan asnaf sebenar yang layak menerimanya dan mengamalkan sikap jujur, amanah selain memastikan tiada penyalahgunaan kuasa.

"Sesungguhnya, tanggungjawab LZS sangat besar dalam memegang amanah umat Islam di negeri ini. Beta menitikberatkan soal kejujuran dan integriti semua warga LZS.

"Beta menitahkan agar tindakan tegas diambil terhadap mereka yang didapati menyeleweng dan tidak amanah di dalam menjalankan urusan dan tanggungjawab mereka termasuklah mengheret mereka ke mahkamah untuk diadili," titah baginda.

Dalam pada itu, Sultan Selangor turut menitahkan LZS agar tidak berasa terlalu selesa dan perlu menerapkan pengurusan korporat yang mementingkan kecekapan berterusan.

"Sejak penubuhan LZS, beta menyaksikan banyak inovasi, pemodenan dan penambahbaikan dalam pengurusan zakat yang telah dilakukan dari masa ke masa melibatkan aspek kutipan, agihan zakat serta pembangunan asnaf dalam pengurusan zakat.

"Apa yang membanggakan beta, pengurusan LZS menjadi contoh ikutan kepada banyak negara seperti Indonesia, Thailand dan beberapa buah negara lain. Mereka tertarik melihat inovasi zakat di Selangor yang telah memberi manfaat yang cukup banyak kepada umat Islam.

"Tetapi beta tidak mahu LZS terus selesa dan berpuas hati, aspek tadbir urus perlu sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa dengan menerapkan pengurusan korporat yang mementingkan kecekapan, kredibiliti dan menjangkau masa hadapan disamping mematuhi piawaian serta ketetapan syariah," titah baginda.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!