Menara Zakat Sultan Idris Shah bukti kesungguhan LZS

SHAH ALAM - Menara Zakat Sultan Idris Shah yang merupakan Ibu pejabat baharu Lembaga Zakat Selangor (LZS) menjadi bukti kesungguhan agensi itu dalam mengutip dan mengagihkan zakat dengan maruah serta berintegriti.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, sejak penubuhan LZS banyak inovasi, pemodenan dan penambahbaikan dalam pengurusan zakat yang dilakukan dari semasa ke semasa termasuk pembangunan asnaf dalam pengurusan zakat.
"Beta bangga pengurusan LZS juga telah menjadi contoh ikutan kepada banyak negara. Justeru itu, aspek tadbir urus perlu sentiasa ditambah baik dan melihat kepada kaedah bantuan terbaik kepada asnaf.
"Beta memuji dedikasi tidak berbelah bahagi LZS untuk menambah baik golongan asnaf dan berpegang teguh kepada prinsip keadilan sosial yang ditegakkan agama Islam," titah baginda.
Sultan Selangor bertitah demikian ketika berkenan mencemar duli ke Majlis Perasmian Ibu Pejabat baharu LZS iaitu Menara Zakat Sultan Idris Shah di sini, pada Khamis.

Turut berkenan berangkat, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin diiringi Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Haris Kasim dan tetamu kehormat lain.
Sementara itu, Pengerusi LZS, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail berkata, penubuhan ibu pejabat baharu itu mencerminkan perancangan jangka panjang dan kesiapsiagaan masa depan LZS dalam usaha meningkatkan operasi serta perkhidmatan kepada golongan asnaf dan pembayar zakat.
Ujarnya, lokasi Menara Zakat Sultan Idris Shah terletak di lokasi strategik iaitu di tengah-tengah Shah Alam yang direka untuk berkhidmat sebagai pusat sehenti.
"LZS melangkah jauh dan berbangga menjadi institusi zakat terkemuka di Malaysia. Selain bantuan kewangan, kami telah melaksanakan pelbagai inisiatif bertujuan memperkasakan individu asnaf untuk berkembang maju.
"Memandangkan keperluan asnaf terus bertambah, kita perlu berubah seiring dengan perkembangan semasa. Usaha ini mendorong kami untuk menilai dan menambah baik operasi serta meningkatkan kecekapan bagi memastikan kami boleh memberi sokongan lebih berkesan dan bermakna kepada mereka yang bergantung kepada kami," katanya.
Menurutnya, tahun lalu lebih 4,000 penerima zakat telah melepasi haddul kifayah dan berjaya keluar daripada kategori asnaf.
Justeru katanya, matlamat LZS pada 2025 adalah untuk membantu 94,000 keluarga dan meningkatkan taraf hidup 4,500 individu keluar daripada belenggu kemiskinan.
Tambah beliau, Menara Zakat Sultan Idris Shah menyediakan kaunter pandu lalu untuk melancarkan urusan kutipan dan pengagihan zakat bagi memberi keselesaan kepada pembayar serta penerima zakat.

Selain itu, Syed Anwar berkata, kios layan diri juga diperkenalkan bagi memudahkan pelanggan LZS membuat bayaran dan permohonan zakat dengan lebih efisien sekali gus menjimatkan masa.
"Ibu pejabat baharu LZS turut dilengkapi kemudahan dewan seminar yang menjadi lokasi bagi sesi latihan dan kursus untuk asnaf. Dewan ini memainkan peranan penting memperkasa komuniti asnaf menerusi pembangunan di Zakat Selangor.
"Fasiliti lain yang disediakan termasuklah surau, ruang letak kereta yang memberi keutamaan kepada asnaf dan pembayar zakat serta kemudahan mesra orang kurang upaya (OKU) dan pusat sumber.
"Setiap hari, purata LZS menerima 100 hingga 120 pengunjung di ibu pejabat di mana sebahagian besarnya asnaf yang memerlukan bantuan. Matlamat kami ialah mewujudkan ruang selesa dan terjamin sambil mengetahui bahawa keperluan mereka akan dipenuhi dengan sebaiknya," jelas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

