Kastam teruskan kerjasama strategik bersih nama daripada jenayah rasuah

Laporan muka depan Sinar Harian pada Khamis berkaitan kes sindiket penyeludupan rokok elektronik.
Laporan muka depan Sinar Harian pada Khamis berkaitan kes sindiket penyeludupan rokok elektronik.
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan meneruskan operasi strategik bersama agensi penguat kuasa lain bagi membersihkan jabatan tersebut daripada jenayah rasuah.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, pihaknya secara konsisten tidak berkompromi dengan sebarang bentuk atau isu berkaitan rasuah, pelanggaran integriti, salah laku melibatkan anggota serta pegawainya.

Menurutnya, tindakan banteras sindiket seludup vape menerusi Op Airways bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merupakan hasil kolaborasi strategik bersama Bahagian Penguatkuasaan Ibu Pejabat JKDM.

Anis Rizana
Anis Rizana

"Ini merupakan semak dan imbang ke atas proses import eksport.

"Kita akan teruskan operasi-operasi strategik dalam pelbagai aspek bagi membersihkan jabatan ini berhubung isu rasuah. Ini tekad saya bagi memastikan JKDM bebas daripada rasuah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Tegas Anis Rizana, pihaknya terbuka untuk bekerjasama rapat dengan agensi lain bukan sahaja SPRM, tapi Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dan lain-lain.

Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan SPRM dengan kerjasama JKDM berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan rokok elektronik atau vape di Pusat Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Artikel Berkaitan:

Operasi itu dijalankan pada Selasa hasil risikan selama tiga bulan.

Seramai 14 individu berusia lingkungan 20 hingga 60-an termasuk dua wanita telah ditahan antara jam 8 malam hingga 1 pagi (Rabu) di sekitar Lembah Klang dan Putrajaya.

Mereka yang ditahan terdiri daripada enam pegawai kastam dan lapan orang awam termasuk enam pengarah syarikat.

Serbuan juga berjaya menemui ratusan ribu vape yang melibatkan kehilangan hasil kutipan cukai kira-kira RM8 juta.

Modus operandi sindiket ialah merasuah pegawai-pegawai penguat kuasa yang bertugas dengan habuan ribuan ringgit bagi setiap kontena tanpa melalui mesin imbasan atau sebarang pemeriksaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!