Duit RM5 juta dalam bagasi untuk 'RM', kata saksi kelapan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Saksi pendakwaan kelapan, Razak Othman memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa beliau hanya mengetahui wang yang diisi dalam dua beg pakaian (luggage) sebulan atau dua bulan selepas diberitahu kenalannya, Saidi atau Saidi Abang Samsudin wang tersebut adalah untuk 'RM'.

Menurutnya lagi, wang berkenaan diambil di Maybank Jalan Tuanku Abdul Rahman pada Disember 2016 dan beliau tidak mengetahui siapa 'RM' yang dimaksudkan Saidi.

Razak juga memberitahu mahkamah, beliau boleh agak kenalannya itu seperti sengaja merahsiakan daripada pengetahuannya.

Razak berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh pihak pendakwaan.

Razak memberitahu mahkamah lagi, beliau yang merupakan ahli perniagaan dan juga rakan niaga Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin yang berkongsi perniagaan bersama di bawah syarikat Trace Tag Asia Sdn Bhd.

Razak, 52, berkata, Saidi telah menawarkannya menyertai syarikat Trace Tag Asia Sdn Bhd pada 2016 di mana Saidi memainkan peranan utama sebagai pembiaya syarikat.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes rasuah Rosmah: Saksi dakwa masukkan duit dalam beg sandang

Lelaki bersenjata iringi saksi serah dua bagasi kepada Rizal Mansor

Artikel Berkaitan:

Menurut Razak lagi, pada Disember 2016, beliau diajak Saidi pergi ke Maybank Jalan Tuanku Abdul Rahman di Kuala Lumpur untuk membayar cek sebanyak RM30,000 yang Saidi berikan kepada syarikat tersebut untuk membeli sebuah lori bagi perniagaan mereka.

Bagaimanapun, sebelum itu, Razak menunggu Saidi di sebuah kedai kopi untuk minum sebelum masuk ke bank bersama.

Razak memberi keterangan bahawa mereka keluar bank kemudian dan pergi ke sebuah kedai berhampiran kompleks membeli-belah Sogo di mana Saidi membeli dua beg bagasi hitam.

Mereka kemudian kembali ke tingkat pertama bank yang sama. Razak memberitahu mahkamah bahawa beliau membantu Saidi membungkus RM5 juta ke dalam dua beg yang dibeli Saidi sebelum itu.

Wang tunai dalam bentuk not RM100 itu dibahagikan kepada dua beg.

Mereka kemudian mengambil beg dan meletakkannya ke dalam kenderaan Range Rover Saidi yang dipandu pemandu Saidi dikenali sebagai Shamsul.

Bagaimanapun, sebelum mereka meninggalkan kawasan itu, seorang lelaki yang tidak dikenali Razak telah menyertai mereka di dalam kereta.

Mereka kemudian pergi ke sebuah bangunan berhampiran kompleks membeli-belah Pavilion di mana Razak dan Saidi membawa beg ke tingkat atas bangunan.

Razak mengatakan bahawa mereka kemudian membawa beg itu kembali ke lobi bangunan dan memasukkannya ke dalam sebuah kenderaan yang digambarkannya sama ada Toyota Alphard atau Vellfire.

Mereka kemudian meninggalkan bangunan itu dan kembali ke cawangan Maybank berkenaan di mana Razak mengambil kereta dan pulang ke rumah.

Razak memberi keterangan bahawa beliau hanya mengikut Saidi dengan alasan sebagai kawan dan tidak tahu kepada siapa sebenarnya wang itu diberikan dan atau untuk tujuan apa.

Prosiding perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung pada 9 Mac ini.

Rosmah, 68, tidak mengaku bersalah atas dakwaan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin menerusi bekas pegawai khas kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Rizal Mansor.

Wang itu sebagai upah kerana membantu syarikat berkenaan mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di tiga tempat berasingan iaitu Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra di sini kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta di sini dan di Kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Mac dan 7 September 2018.