Lelaki bersenjata iringi saksi serah dua bagasi kepada Rizal Mansor

Rizal Mansor - Foto fail Bernama
Rizal Mansor - Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau telah diiringi seorang 'lelaki Melayu’ berjaket gelap dan bersenjata api sebelum dua bagasi berat berwarna hitam diserahkan kepada bekas pembantu Datin Seri Rosmah Mansor, Datuk Rizal Mansor pada penghujung tahun 2016.

Shamsul Rizal Sharbini, 42, yang merupakan bekas pemandu Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin, berkata kejadian itu berlaku di luar Maybank di Jalan Tunku sebelum dia membawa majikannya ke Pavilion Mall untuk bertemu dengan Rizal.

Saksi pendakwaan keempat itu berkata Saidi dan rakannya, Razak Othman masing-masing membawa sebuah bagasi serta meletakkan kedua-duanya di bahagian bonet kereta.

“Secara tiba-tiba, seorang lelaki Melayu berjaket gelap telah masuk di bahagian belakang (kereta) dan duduk di sebelah Razak. Saya tidak kenal lelaki itu tetapi beliau kelihatan seperti anggota polis kerana beliau bersenjata api (pistol),” katanya pada hari kedua perbicaraan kes rasuah yang dihadapi Rosmah berhubung projek solar hibrid.

Membacakan penyataan saksinya, Shamsul Rizal berkata, apabila tiba di lobi sebuah bangunan bersebelahan Pavilion Mall, Saidi mengarahkan dia untuk mengeluarkan kedua-dua bagasi tersebut.

"Saya terpaksa mengangkat beg itu satu persatu kerana beg tersebut agak berat dan saya tidak berdaya untuk mengangkat kedua-duanya sekali gus. Semasa saya membawa kedua-dua beg tersebut, saya nampak Rizal berdiri di lobi bangunan tersebut.

"Kemudian Saidi dan Razak telah mengambil beg tersebut sambil diiringi lelaki Melayu tidak tahu ke mana kerana saya telah keluar untuk mengalihkan kenderaan.

“Tidak sampai setengah jam kemudian, Saidi telah menghubungi dan mengarahkan saya untuk mengambil beliau di tempat mereka diturunkan tadi. Apabila tiba di situ, saya nampak dua beg itu dimasukkan ke dalam kereta jenis Vellfire yang berada di situ,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Saksi itu juga berkata, ketika beredar dari tempat berkenaan, hanya Saidi dan Razak sahaja yang menaiki kenderaan yang dipandunya.

“Semasa dalam kereta, Saidi ada membuat lawak dengan berkata: “Entah siapa yang masuk ke dalam kereta aku pun tidak tahu. Kalau dia bunuh kita macam mana?” Razak hanya ketawa apabila mendengar kata-kata Saidi itu,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam.

Terdahulu saksi itu memberitahu dua bagasi tersebut dibeli oleh Saidi dan Razak di Pertama Kompleks di sini pada penghujung tahun 2016.

Rosmah, 68, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta daripada Saidi menerusi Rizal.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes rasuah Rosmah: Saksi dakwa masukkan duit dalam beg sandang

Wang itu sebagai upah kerana membantu syarikat berkenaan mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di tiga tempat berasingan iaitu Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra di sini; kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, di sini dan di Kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan 7 September 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung Isnin depan. - Bernama