Apa lagi selepas akuarium, tin susu, tong sampah hitam dan penyodok?

MENGHIDANGKAN makanan menggunakan peralatan pelik oleh peniaga sudah menjadi trend di Malaysia. Tidak ada sebab lain kecuali menjadikan keunikan itu untuk tarikan pembeli.
Merak Jalanan masih ingat pada tahun 2023, ketika umat Islam menjalani ibadah puasa, peniaga bazar Ramadan menampilkan keunikan apabila menggunakan akuarium ikan untuk menjual pelbagai air balang berperisa.
Sama ada mereka tidak tahu atau sengaja buat-buat tak tahu, akuarium diperbuat daripada bahan kaca atau acrylic mengandungi bahan kimia seperti plumbum atau phthalates.
Ia boleh larut dalam air seterusnya mencemarkan air, sekali gus boleh mengakibatkan kesan kepada kesihatan.
Lantas Kementerian Kesihatan (KKM) menegaskan bahawa penggunaan akuarium ikan sebagai balang air merupakan satu kesalahan dalam Peraturan 31, Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
Sebelum itu, tular juga penggunaan tin susu kitar semula yang dijadikan sebagai bekas minuman menggantikan cawan di sebuah kedai makan di Pulau Pinang.
Biarpun tin susu itu pada asalnya digunakan untuk bahan makanan tetapi penggunaan kitar semula itu boleh menyebabkan berlakunya tindakan kimia yang boleh memudaratkan pengguna.
Paling menjijikkan buat Merak Jalanan adalah peniaga ayam percik di bazar Ramadan di Bayan Lepas menggunakan tong sampah hitam untuk mengisi sos ayam percik.
Baru-baru ini pula tular sebuah restoran menghidangkan shell out menggunakan penyodok. Mujur restoran itu di Acheh, Indonesia.
Sebagai pengendali atau pengusaha makanan, tak perlulah nak menggunakan idea pelik-pelik untuk menarik minat pelanggan. Banyak lagi cara untuk melariskan peniagaan anda.
Kalau harga berpatutan, dekorasi kedai menarik dan makanan sedap, sudah tentu ramai yang berebut-rebut nak beli.
Tak perlulah bersusah payah fikir idea-idea mengarut untuk lariskan perniagaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
