Pindah milik tanah: NRES ambil tindakan terhadap pegawai - Nik Nazmi

Laporan khas Sinar Harian hari ini berhubung isu orang dalam dalang pindah milik tanah.
Laporan khas Sinar Harian hari ini berhubung isu orang dalam dalang pindah milik tanah.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) akan mengambil tindakan terhadap pegawai Pejabat Tanah dan Galian (PTG) yang didakwa terlibat dengan sindiket penipuan pindah milik tanah.

Mengakui perkara tersebut sudah berlarutan sekian lama, Menteri NRES, Nik Nazmi Nik Ahmad menegaskan pihaknya memandang serius terhadap laporan penglibatan pegawai dan kakitangan agensi kementerian itu.

"Ini bukan isu baru sebenarnya tetapi telah menular begitu lama. Ada juga melibatkan di peringkat negeri dan pejabat tanah daerah," katanya menerusi sidang akhbar selepas Persidangan Green Leadership di sini pada Isnin.

Menurutnya, di peringkat Persekutuan kementerian kini dalam proses melakukan transisi pendigitalan kepada sistem pentadbiran tanah secara eletronik (e-Tanah) bagi mengurangkan risiko pemalsuan serta penipuan hak milik tanah.

"Pentadbiran tanah adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, jadi kita telah bermula di beberapa buah negeri antaranya Kedah dan Johor serta akan diperluas ke seluruh Semenanjung," jelas Nik Nazmi.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan segelintir orang dalam di PTG bersubahat dengan sindiket menjadi punca utama kes pindah milik tanah tanpa pengetahuan pemilik asal.

Ia terus berleluasa sehingga menyebabkan kerugian berjuta-juta ringgit, dedah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf.

Difahamkan orang dalam PTG mempunyai akses mudah kepada data dan sistem maklumat berkomputer di pejabat.

Artikel Berkaitan:

Dalam tempoh empat bulan sejak September lepas, polis sudah menahan 17 individu, termasuk tujuh kakitangan pejabat tanah di Selangor kerana disyaki terbabit kartel berkenaan melibatkan tanah seluas 9.4 hektar bernilai RM7.1 juta.

Sistem e-Tanah telah dimulakan secara perintis di Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Kuala Lumpur sejak tahun 2017.

Ia kemudiannya dilaksanakan di Kuala Lumpur dan Perak, sebelum diperluas ke Putrajaya dan Labuan, Selangor, Terengganu, Pahang, Johor, Kedah, Perlis dan Kelantan.

Sementara itu, ditanya mengenai sejauh mana sistem berkenaan berjaya mengekang penipuan hak milik tanah, Nik Nazmi menjelaskan e-Tanah yang diuruskan sepenuhnya secara digital akan menyukarkan perkara itu berlaku.

"Bukanlah nak kata 100 peratus mustahil sebab jika dahulu diurus secara fail fizikal boleh memasukkan tandatangan dan sebagainya.

"Jadi sekarang, dengan sistem tersebut sukarlah kerana penglibatan manusia itu rendah," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!