Ayam beku tamat tarikh luput disyaki dibungkus semula dirampas

Antara individu yang ditahan bersama barang rampasan melibatkan produk hasil haiwan termasuk ayam beku di Kampung Kionsom, Inanam, Kota Kinabalu.
Antara individu yang ditahan bersama barang rampasan melibatkan produk hasil haiwan termasuk ayam beku di Kampung Kionsom, Inanam, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya merampas produk hasil haiwan yang meragukan disyaki cuba dibungkus semula dalam dua serbuan berasingan di Kampung Kionsom, Inanam, pada Isnin lalu.

Dalam kedua-dua rampasan itu, empat lelaki berusia antara 19 hingga 50 tahun ditahan bersama hasil produk haiwan bernilai kira-kira RM190,000.

Komander PPM Wilayah Empat, Asisten Komisioner Mohd Nazri Ibrahim berkata, dalam serbuan pertama anggota PPM menahan sebuah lori bersama van di hadapan sebuah bilik sejuk di kawasan tersebut.

"Hasil pemeriksaan terdapat sebanyak 281 mengandungi kepak ayam di dalam lori manakala pemeriksaan di dalam bilik sejuk menemui ayam beku termasuk kepak ayam yang telah tamat tarikh luput.

"Penjaga bilik sejuk yang berada di lokasi gagal mengemukakan sebarang dokumen atau permit yang berkaitan dan pemeriksaan lanjut terhadap van menemui kotak coklat dipercayai digunakan untuk tujuan pembungkusan semula," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Katanya lagi, dalam pemeriksaan kedua pula dilakukan sekitar jam 11.30 pagi apabila sebuah lori yang dipandu seorang lelaki berusia 24 tahun telah ditahan di kampung yang sama.

Individu yang ditahan bersama barang rampasan yang telah dimasukkan ke dalam kenderaan.
Individu yang ditahan bersama barang rampasan yang telah dimasukkan ke dalam kenderaan.

Artikel Berkaitan:

"Pemeriksaan pada lori tersebut menemui 200 kotak ikan bahulu dan seterusnya pemeriksaan pada bilik sejuk di belakang kenderaan itu turut menemui barang rampasan lain.

"Antara barang yang dirampas termasuk ayam, sotong, daging ayam proses dan nuget," katanya.

Menurut Mohd Nazri lagi, nilai keseluruhan barang yang dirampas termasuk lori dan van ialah lebih RM500,000.

"Kesemua barangan disyaki dari produk dan hasil haiwan tanpa lesen yang sah dan meragukan. Kes disiasat di bawah Enakmen Haiwan 2015 Seksyen 15(1) iaitu mengimport makanan tanpa lesen yang sah.

"Laporan Polis telah dibuat dan kesemua tangkapan serta rampasan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk tindakan lanjut," katanya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!