Kaedah EVM untuk pengundi luar negara

Wan Ahmad
Wan Ahmad
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan khususnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh cuba melaksanakan kaedah penggunaan peralatan khas, electronik voting machine (EVM) di Malaysia seperti yang digunakan dalam proses pilihan raya India.

Bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, sebuah demokrasi besar seperti India yang mempunyai jumlah pengundi hampir satu bilion dapat melaksanakan proses pilihan raya secara cepat dan telus dengan menggunakan alat pengundian EVM.

Menurut Wan Ahmad, beliau sendiri pernah melihat pengundian menggunakan alat EVM itu berfungsi.

“Kenapa kita tidak guna EVM sebagai projek perintis bagi urusan pengundian rakyat Malaysia di luar negara, misalnya buka pusat-pusat mengundi di pejabat perwakilan Malaysia. Pegawai kedutaan boleh dilantik SPR untuk menjalankan proses pengundian di tempat masing-masing di seluruh dunia.

“Itulah kaedah pengundian elektronik jarak jauh yang tidak memerlukan peruntukan besar. Saya rasa kaedah EVM ini murah, cepat dan telus.

“Keputusan pengundian melalui EVM (dibuat pengiraan serentak) dari luar negara dihantar secara elektronik ke ibu pejabat SPR di Putrajaya, di mana keputusan diproses mengikut bahagian Parlimen masing-masing sebelum diserahkan kepada pegawai pengurus pilihan raya yang berkaitan di seluruh negara untuk membuat penjumlahan rasmi undian,” ujarnya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara perlu mempunyai hak sama mengundi dalam pilihan raya, seperti mereka di tanah air,

Beliau juga sudah membangkitkan isu undi pos rakyat Malaysia di luar negara dengan SPR.

Artikel Berkaitan:

Anwar memberitahu agar SPR tidak hanya melakukan proses pengundian menerusi kedutaan, tetapi gunakan beberapa mekanisme agar orang ramai boleh datang dan mengundi - walaupun ini akan menyebabkan pertambahan dana.

Tambah Wan Ahmad, SPR pernah menggunakan kaedah membuka pusat mengundi di beberapa kedutaan sebagai usaha dan cara agar rakyat Malaysia dapat mengundi dalam pilihan raya umum (PRU).

Jelasnya, cara itu menjamin hak mengundi dan meningkatkan kepantasan serta ketelusan proses pengundian sebagai mengganti urusan pengundian pos.

“PRU pada tahun 2013, SPR pernah membuka pusat mengundi di luar negara antaranya di London, Washington DC, Hong Kong, Camberra dan negara ASEAN tertentu.

“Kos meningkat kerana kertas undi perlu dihantar ke pusat-pusat di luar negara dan sebaik sahaja pengundian selesai, bakul keselamatan berkunci yang mengandungi kertas undi diterbangkan segera ke Ibu Pejabat SPR. Walaupun rumit, melibatkan kerja dan bajet bertambah tetapi rakyat luar negara puas hati dapat mengundi sama seperti rakyat dalam negara.

“Namun, pada PRU14 ia balik kepada kaedah asal iaitu rakyat di luar negara dikeluarkan kertas undi pos (ikut permintaan) dalam tempoh masa yang ditetapkan. Ramai marah kerana tidak sempat,” katanya.

Tambahnya, reformasi pengurusan pengundian pos untuk rakyat di luar negara perlu dikaji secara serius oleh SPR dan Kerajaan Madani bagi menjamin hak pengundi.

“Ia perlu dilakukan segera supaya seberapa ramai rakyat di luar negara dapat tunaikan hak mereka dalam PRU16 akan datang.

“Banyak negara demokrasi seperti Amerika Syarikat, Australia, Canada, United Kingdom, India, Indonesia, Filipina dan lain-lain buka pusat mengundi di pejabat perwakilan mereka di luar negara. Kertas undi dikira di kedutaan masing-masing,” ulasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!