SPR disaran benarkan rakyat Malaysia di luar negara daftar undi awal

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) disaran membenarkan rakyat Malaysia di luar negara mendaftar sebagai pengundi pos lebih awal sekurang-kurangnya enam bulan sebelum pilihan raya.
Jawatankuasa Pemandu Bersih dan Adil (Bersih) dan Global Bersih dalam satu kenyataan bersama berkata, cadangan itu bertujuan memberi masa yang cukup agar lebih ramai rakyat dapat melaksanakan hak mengundi dengan berkesan.
Menurutnya, perkara tersebut penting untuk memperkukuhkan demokrasi Malaysia selain memastikan semua rakyat tanpa mengira lokasi dapat menyumbang kepada proses pilihan raya negara.
“Kami menyambut baik kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Belgium yang menegaskan rakyat Malaysia mesti mempunyai hak mengundi setara dengan pengundi dalam negara.
“Perkara ini selari dengan pendirian akses pengundian reformasi supaya tiada sesiapa tertinggal dalam proses demokrasi untuk memilih tampuk kepimpinan negara,” katanya pada Selasa.
Perdana Menteri pada Isnin menyatakan, isu undi pos rakyat Malaysia di luar negara telah dibangkitkan dengan SPR.
Kata beliau, SPR perlu memberi peluang kepada setiap rakyat Malaysia untuk mengundi sama seperti mereka yang berada di tanah air.
Sementara itu, dalam kenyataan sama, Bersih dan Global Bersih turut mengemukakan cadangan penambahbaikan akses dan keberkesanan pengundian bagi pengundi luar kawasan termasuklah dengan memuat turun kertas undi secara dalam talian.
“Kami mencadangkan pengundi luar negara dibenarkan memuat turun kertas undi secara terus melalui sistem MySPR dengan mekanisme pengesahan keselamatan yang tinggi.
“Langkah ini akan mengurangkan masa penghantaran serta memastikan pengundi dapat menerima dan mengembalikan kertas berkenaan dengan lebih pantas,” ujarnya.
Tambahnya, akses pengundian domestik melibatkan pengundi Sabah dan Sarawak yang menetap di Semenanjung juga perlu dipertingkatkan.
Menurutnya, SPR boleh membuka pusat pengundian awal mega (advance voting centre) di setiap negeri bagi memudahkan pengundi Sabah dan Sarawak mengundi di pusat tersebut.
“Kami juga berharap tempoh berkempen minimum 21 hingga 25 hari bagi memastikan kertas undi dari seluruh dunia mempunyai masa yang mencukupi untuk sampai ke Malaysia sebelum hari mengundi.
“Ia memberikan ruang masa yang lebih baik untuk pengundi luar negara mengembalikan kertas undi mereka tanpa kebimbangan terhadap kelewatan logistik,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!