Ladang ayam dikenakan kompaun tiga kali tidak dibenarkan beroperasi

KUALA LANGAT - Ladang penternakan ayam di Kampung Ladang Batu yang telah dikenakan tindakan kompaun lebih tiga kali tidak boleh dibenarkan terus beroperasi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Tanjung Sepat, Borhan Aman Shah berkata, tindakan tegas itu perlu dilakukan sebagai amaran kepada pengusaha agar tidak memandang remeh isu lalat dihadapi penduduk kawasan itu.
Menurutnya, pihaknya sebelum ini telah berusaha dengan mengatur pertemuan antara pihak veterinar bersama penternak, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta penduduk bagi mencari penyelesaian.
"Satu solusi dicapai bahawa tindakan boleh diambil kepada (premis penternakan) yang tidak mengikut peraturan.
"Kemudian diberi pendedahan kepada penternak mengikut ketetapan cara pengendalian (atasi lalat) contohnya semburan racun yang boleh digunakan tetapi ia sekejap sahaja dipraktikkan," katanya mengulas bantahan penduduk isu gangguan lalat di Kampung Ladang Batu pada Ahad.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada pada sidang akhbar pembukaan Muzium Sultan Alam Shah di sini pada Isnin.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan penduduk menahan derita hampir lima tahun kerana diserang jutaan lalat tidak kira masa siang atau malam pada setiap hari.
Ia dikatakan berpunca daripada pengurusan beberapa ladang ayam berhampiran kampung berkenaan yang menggunakan kaedah lama dan baharu sama ada secara terbuka atau tertutup.
Penduduk memaklumkan tertekan disebabkan masalah itu seolah-olah tiada jalan penyelesaian sedangkan sudah banyak aduan dibuat kepada pihak berwajib.
Dalam pada itu, Borhan yang juga Exco Perumahan dan Kebudayaan Negeri Selangor berkata, kerajaan negeri tiada halangan operasi penternakan terbabit, namun pengusaha juga perlu menjaga sensitiviti masyarakat di sana.
"Penternak perlu mengambil berat masalah penduduk di kawasan itu, sepatutnya penternakan dijalankan secara moden bukan konvensional.
"Justeru, mana-mana syarikat yang sudah didenda atau dikompuan tiga kali, premis penternakan itu perlu ditutup.
"Tindakan tegas ini perlu ada, kalau tidak pengusaha main-main kerana bagi mereka masalah dihadapi penduduk ini bukan isu berat," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

