Jemput-jemput ibu tunggal laku keras, 500 biji terjual sehari

JERANTUT - Kuih jemput-jemput menjadi punca rezeki buat dua ibu tunggal, Norkhairiah Mohd Idris, 42, dan Haslizawati Mohd Dolhi, 43, di Felda Tekam Utara di sini dengan lebih 500 biji terjual sehari.
Norkhairiah berkata, pada asalnya mereka hendak memasak dan menjual lempeng tetapi ditukar jemput-jemput tepung memandangkan makanan itu mudah dan cepat dimasak.
"Kami menggunakan kira-kira lima kilogram tepung dicampur dengan bawang, bilis, lobak merah dan ramuan lain sehari berasaskan selera pelbagai lapisan usia pelanggan masuk ke kedai ini.
"Kami masak jemput-jemput ini apabila dipesan pelanggan bagi memastikan makanan ini masih panas, garing dan sedap dicicah dengan kuah yang dimasak khas," katanya di sini baru-baru ini.
Menurutnya, waktu jualan jemput-jemput itu di kedai Hast & Kerry bermula jam 7 pagi hingga 3 petang.

Norkhairiah yang berkelulusan bidang Pengurusan Perniagaan daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) memberitahu, jualan jemput-jemput itu menjadi sumber pendapatan utama mereka setakat ini.
"Kadang-kadang ia mendapat permintaan ramai pelanggan dan kita menyediakan tepung dan ramuan tambahan khususnya pada hujung minggu," ujarnya jemput-jemput itu dijual sebanyak empat biji dengan harga RM1.
Sementara itu, Haslizawati berkata, mereka akan terus menjual jemput-jemput kerana ia merupakan sumber rezeki menyara anak-anak dan perbelanjaan keperluan dapur.
"Kami akan cuba pelbagaikan ramuan baharu untuk keenakan jemput-jemput berasaskan panduan daripada beberapa orang rakan chef supaya makanan ini lebih enak serta komersial dalam kalangan semua peringkat usia," jelasnya lagi.
Ujarnya, jemput-jemput amat laris lebih lagi ketika musim hujan kerana penduduk di situ tidak dapat keluar bekerja dan singgah ke kedai tersebut menjamu selera.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!