[VIDEO] Diarak naik bas 1km sebelum berkhatan

A
A
A

IPOH - Program Sunathon Perdana 3.0 mencipta kelainan apabila seramai 37 orang peserta diarak menaiki bas Hop On Hop Off sejauh satu kilometer sebelum berkhatan di Masjid Muhammad Al-Fateh, Taman Jati di sini pada Ahad.

Pengerusi Masjid Muhammad Al-Fateh, Mohd Dzohiri Abdul Samad berkata, penganjuran kali ketiga itu menampilkan kelainan apabila mendapat kerjasama daripada syarikat bas Perak Transit untuk membawa peserta dari Surau Al-Ittihadiyah, Taman Meru 3C ke masjid berkenaan.

Menurutnya, program tersebut juga dapat dijayakan dengan kerjasama beberapa rakan strategik masjid termasuklah Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Jati dan KRT Gerbang Meru Indah.

Peserta diarak menaiki bas Hop On Hop Off sejauh 1km sebelum dikhatankan sempena Program Sunathon 3.0 di Masjid Muhammad Al-Fateh Taman Jati di sini pada Ahad.
Peserta diarak menaiki bas Hop On Hop Off sejauh 1km sebelum dikhatankan sempena Program Sunathon 3.0 di Masjid Muhammad Al-Fateh Taman Jati di sini pada Ahad.

"Ada sedikit kelainan dengan beberapa penambahbaikan daripada Sunathon Perdana 1.0 kerana acaranya begitu ringkas sekali sebab permulaan kita laksanakan.

"Sunathon Perdana 2.0 kita sudah ada perarakan daripada surau yang menjadi rakan strategik dengan menggunakan lori, jadi pada tahun ini alhamdulillah dengan kerjasama agensi luar anak-anak ini dibawa menaiki bas pelancongan ini," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena Program Sunathon Perdana 3.0 di Masjid Muhammad Al-Fateh, Taman Jati di sini pada Ahad.

Hadir merasmikan program tersebut, Ahli Dewan Negara, Datuk Shamsuddin Abdul Ghaffar.

Artikel Berkaitan:

Mohd Dzohiri (kanan) menyiram air bomba sempena Program Sunathon 3.0 di Masjid Muhammad Al-Fateh Taman Jati di sini pada Ahad.
Mohd Dzohiri (kanan) menyiram air bomba sempena Program Sunathon 3.0 di Masjid Muhammad Al-Fateh Taman Jati di sini pada Ahad.

Mohd Dzohiri berkata, sebelum program berlangsung, kesemua peserta menjalani saringan bersama dengan pasukan perubatan daripada Hospital Raja Permaisuri Bainun dianggotai seramai tujuh orang.

Menurutnya, kesemua peserta terlibat berusia dalam lingkungan tujuh hingga 12 tahun dan ia mengikut prosedur ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

Peserta khatan disambut dengan persembahan silat oleh Pertubuhan Seni Gayong Serantau Malaysia.
Peserta khatan disambut dengan persembahan silat oleh Pertubuhan Seni Gayong Serantau Malaysia.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Dzohiri menjelaskan aktiviti dilaksanakan itu merupakan sebahagian daripada kesinambungan Bulan Dakwah anjuran masjid berkenaan bertemakan Takwa Ramadan menjelang bulan Ramadan tidak lama lagi.

Terdahulu, peserta mengambil nombor giliran di surau sebelum menaiki bas sambil diiringi konvoi motosikal ke Masjid Muhammad Al-Fateh dengan iringan paluan kompang.

Setelah tiba di masjid, kesemua peserta disambut dengan persembahan silat oleh Pertubuhan Seni Gayong Serantau Malaysia sebelum disirami air daripada pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!