Kanak-kanak kacukan Perancis teruja berkhatan beramai-ramai

Danial Benoit menemani anaknya, Lucas ketika proses berkhatan sempena Program Khatan Perdana 2025 DUN Ru Rendang di Marang pada Sabtu. Foto Jihadi Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI)
Danial Benoit menemani anaknya, Lucas ketika proses berkhatan sempena Program Khatan Perdana 2025 DUN Ru Rendang di Marang pada Sabtu. Foto Jihadi Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI)
A
A
A

MARANG - Musim cuti persekolahan memberi pengalaman baharu buat seorang kanak-kanak kacukan Perancis apabila berpeluang menyertai Program Khatan Perdana 2025 Dewan Undangan Negeri (DUN) Ru Rendang di sini pada Sabtu.

Penyertaan Lucas Isa Ahmad, 4, yang merupakan anak sulung kepada pasangan, Danial Benoit Julian, 40, dan Noraini Anwar, 37, menarik perhatian ramai apabila menjadi kanak-kanak termuda menyertai program tersebut.

Menurut Noraini, dia memilih untuk mendaftarkan anaknya mengikuti program itu kerana tertarik dengan pengisian sepanjang proses berkhatan itu.

Peserta program khatan beramai-ramai disiram air dari pili bomba sempena Program Khatan Perdana 2025 DUN Ru Rendang di Marang pada Sabtu. Foto Jihadi Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI).
Peserta program khatan beramai-ramai disiram air dari pili bomba sempena Program Khatan Perdana 2025 DUN Ru Rendang di Marang pada Sabtu. Foto Jihadi Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI).

“Pada mulanya ibu saudara yang mencadangkan kepada saya supaya menyertai program khatan perdana ini selepas dia mengetahui hasrat saya untuk mengkhatankan Lucas.

“Di Perancis, proses khatan dilakukan seorang demi seorang di klinik, tetapi di sini suasananya sangat berbeza dan menyeronokkan.

"Berkhatan beramai-ramai memberikan pengalaman yang berharga buat anak saya dan dia nampak sangat seronok," katanya ketika ditemui pemberita pada program tersebut.

Kongsi Noraini, suaminya pertama kali merasai pengalaman menyaksikan tradisi berkhatan termasuk acara mandi air dari pili bomba bagi kanak-kanak yang menyertai program itu.

Artikel Berkaitan:

"Saya beritahu suami tradisi berkhatan di sini amat berbeza dengan yang biasa dilihat di Perancis.

"Di Malaysia kalau dulu-dulu, kanak-kanak akan mandi sungai sebagai persediaan sebelum berkhatan," ujarnya.

Danial Benoit bersama anaknya ketika tiba di Masjid Rhu Muda sempena Program Khatan Perdana 2025 DUN Ru Rendang di Marang pada Sabtu. Foto Jihadi Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI).
Danial Benoit bersama anaknya ketika tiba di Masjid Rhu Muda sempena Program Khatan Perdana 2025 DUN Ru Rendang di Marang pada Sabtu. Foto Jihadi Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI).

Sementara itu, suaminya Danial Benoit berkata, dia teruja kerana turut program itu berlangsung dengan meriah dan berjalan lancar.

"Saya begitu teruja dengan kemeriahan sepanjang program ini malah doktor yang mengkhatankan Lucas kelihatan profesional dan tenang.

“Saya merakam penghargaan dan terima kasih kepada pihak penganjur yang memberikan pengalaman luar biasa kepada kami sekeluarga terutama kepada Lucas,” katanya.

Program Khatan Perdana yang berlangsung di Masjid Rhu Muda, di sini disertai seramai 116 kanak-kanak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!