Guna gambar selebriti, tokoh agama tipu umrah

Ramli
Ramli
A
A
A

KUALA LUMPUR - Terdapat syarikat pelancongan yang dikesan menggunakan gambar selebriti dan tokoh agama dalam iklan pakej umrah mereka di media sosial untuk menjerat mangsa.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, itu antara modus operandi yang dikesan pihaknya.

"Suspek menggunakan gambar ikon, ustaz, ustazah dan selebriti untuk iklan serta menawarkan pakej umrah yang lebih murah berbanding harga daripada agensi berlesen di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

"Selain itu, polis turut mengesan syarikat pengelola umrah menggunakan duit kumpulan jemaah semasa untuk menampung kos kumpulan jemaah yang terdahulu (snowball)," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Beliau berkata, suspek juga dikesan membawa mangsa melancong ke Makkah dan seterusnya melakukan umrah dengan menggunakan visa pelancong atau dikenali sebagai umrah DIY (Do It Yourself).

Tambahnya, ada juga ejen yang menyamar sebagai wakil syarikat pengendali pelancongan ternama dan mengutip wang bayaran daripada mangsa.

Menurutnya, kes penipuan umrah mencatatkan kerugian lebih RM700,000 melibatkan 29 kes pada tahun lalu di seluruh negara.

"Kes tertinggi direkodkan di Selangor iaitu enam kes dengan nilai kerugian RM169,730," katanya.

Selain itu katanya, lima kes di Perak membabitkan kerugian RM85,770, Kuala Lumpur (4 kes, RM134,000), Kedah (4 kes, RM70,210) dan Kelantan (4 kes, RM49,312.54).

Artikel Berkaitan:

"Lain-lain membabitkan dua kes di Melaka dan satu kes masing-masing di Johor, Pahang, Sabah serta Sarawak dengan kerugian mencecah RM199,087.

"Secara keseluruhan kes tahun lalu merekodkan kerugian RM708,109.54," katanya.

Ramli berkata, punca utama kes yang dilaporkan ialah kelemahan dan keghairahan mangsa apabila mudah diperdaya dengan pakej umrah yang murah dan harga tidak munasabah.

"Contohnya, terdapat iklan pakej umrah lengkap berjumlah RM4,500, namun adalah mustahil harga seperti itu memandangkan harga tiket kapal terbang sahaja sudah RM4,000 tidak termasuk kos makan, hotel, kelengkapan dan pengangkutan," katanya.

Tambahnya, orang ramai dinasihatkan bersikap skeptikal dan tidak terperdaya dengan tawaran pakej umrah yang terlalu murah.

"Orang ramai juga perlu meningkatkan kesedaran dengan membuat semakan terlebih dahulu dengan agensi yang bertanggungjawab seperti MOTAC sebelum membuat sebarang pembelian pakej umrah.

"MOTAC adalah agensi yang mengeluarkan lesen kepada pengendali umrah. Orang ramai perlu melakukan semakan yang sepatutnya agar tidak membuat pembelian pakej dengan syarikat yang tidak berdaftar," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!