Polis siasat dakwaan anggota terima rasuah di Tambak Johor

Gambar tular di media sosial yang mendakwa anggota polis meminta dan menerima rasuah daripada seorang pemandu di Tambak Johor.
Gambar tular di media sosial yang mendakwa anggota polis meminta dan menerima rasuah daripada seorang pemandu di Tambak Johor.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan akan melakukan siasatan menyeluruh berhubung dakwaan anggotanya meminta dan menerima rasuah daripada seorang pemandu di Tambak Johor di sini pada Khamis sebagaimana yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya mengambil serius dakwaan dalam laman Facebook Singapore's Guide To JB yang memaparkan gambar seorang anggota meminta dan menerima wang secara tidak sah daripada pemandu di Tambak Johor.

"Berdasarkan siasatan awal, kejadian ini dipercayai berlaku pada jam 5 hingga 6 petang, 16 Januari lalu di Jalan Tambak Johor iaitu kira-kira 500 meter dari Bangunan Sultan Iskandar menghala ke Singapura.

"Ketika kejadian, seramai empat anggota trafik sedang menjalankan penguatkuasaan kesalahan lalu lintas iaitu memotong barisan di lokasi tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Raub berkata, kesemua anggota yang bertugas pada tarikh berkenaan telah dirakamkan keterangan dan mengesahkan mereka menjalankan tugas mengikut prosedur ditetapkan.

Malah katanya, sepanjang tugas dilaksanakan, sebanyak 69 saman atas kesalahan potong barisan dikeluarkan kepada pemandu yang melakukan kesalahan lalu lintas.

"Mereka juga menafikan sebarang bentuk permintaan atau penerimaan wang daripada mana-mana pemandu seperti dalam gambar yang tular di laman sosial Facebook tersebut," katanya.

Bagaimanapun Raub berkata, pihak IPD Johor Bahru Selatan sedang menjalankan siasatan menyeluruh dalam usaha memastikan tiada unsur jenayah atau salah laku yang melibatkan anggotanya.

Ujarnya, jika terdapat bukti kukuh, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana anggota yang melanggar undang-undang dan mencemarkan nama baik pasukan.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, sehingga kini tiada bukti kukuh yang mengesahkan dakwaan tersebut. Dalam masa sama, polis juga memberi amaran keras kepada mana-mana individu yang menyebarkan maklumat palsu atau tidak sahih yang boleh mencemarkan reputasi Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Tindakan undang-undang akan diambil mengikut peruntukan sedia ada. Kita juga meminta kepada mana-mana individu yang mempunyai maklumat atau melihat kejadian tersebut untuk tampil memberi keterangan di IPD Johor Bahru Selatan atau menghubungi Asisten Komisioner Idham Abdullah 07-2182222, bagi membantu siasatan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!