WBB dapat kurangkan keletihan pegawai perubatan - Dr Dzulkefly

KUALA LUMPUR - Waktu Bekerja Berlainan (WBB) bertujuan mengurangkan keletihan selain meningkatkan kualiti hidup serta kebajikan pegawai perubatan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, sistem itu juga bagi meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada orang ramai.
Menurutnya, pelaksanaan WBB dijangka dapat mengurangkan tempoh bekerja atas panggilan aktif daripada maksimum 33 jam kepada 18 jam untuk setiap sesi kerja kakitangan.
"Ia juga bagi memastikan pegawai perubatan tidak bertugas melebihi 24 jam secara berterusan.
"Selain itu pelaksanaannya dapat mengurangkan jumlah waktu bertugas yang kini mencecah 99 jam seminggu (tiga kali atas panggilan seminggu) kepada 72 jam seminggu," katanya pada sidang media berkaitan cadangan WBB di sebuah hotel di sini pada Jumaat.
Hartal Doktor Kontrak (HDK) sebelum ini menggesa KKM untuk menarik balik WBB dengan serta-merta.
HDK mendakwa WBB telah menyebabkan kemarahan dalam kalangan pegawai perubatan apabila KKM mengumumkannya tanpa penglibatan terlebih dahulu dengan pihak berkepentingan utama.
Bagaimanapun Dr Dzulkefly menerusi maklum balas berkenaan isu itu pada Khamis memaklumkan WBB masih di peringkat cadangan dan ia merupakan usaha berterusan untuk penambahbaikan perkhidmatan dan kebajikan petugas KKM.
Dalam pada itu, Dr Dzulkefly berkata, WBB antara isu akan dibincangkan dalam pemukiman melibatkan KKM yang berlangsung sehingga Ahad ini.
Ujarnya, WBB merupakan cadangan perubahan aturan jadual kerja yang dibina oleh petugas KKM sendiri berdasarkan libat urus dibuat sejak 22 Januari tahun lalu.
"Sistem itu membabitkan beberapa jabatan di fasiliti kesihatan terpilih melibatkan pegawai perubatan dan pakar perubatan secara bersasar.
"Ia menjadi sistem ketiga yang berjalan selari dengan sistem atas panggilan (on-call) sedia ada dan sistem syif bagi pegawai perubatan dan pakar perubatan," katanya.
Katanya, KKM komited untuk menambah baik persekitaran kerja menyokong kebajikan dan kesejahteraan lebih baik untuk warga kerjanya.
"Isu utama yang akan dibincangkan dalam pemukiman turut melibatkan perkara berkaitan sumber manusia, meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan dan ketidakseimbangan agihan petugas kesihatan.
"Pagi ini, sesi libat urus melibatkan 1,000 pegawai perubatan dan pakar perubatan secara fizikal dan dalam talian yang dapatan daripada sesi ini akan dibincangkan pada pemukiman.
"Ini adalah salah satu inisiatif kementerian untuk meningkatkan keterlibatan pemegang taruh secara keseluruhan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!