Nenek 70 tahun antara ditahan di pusat urut

BATU PAHAT – Seorang wanita warga emas berusia 70 tahun antara yang ditahan pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor dalam serbuan di empat premis pusat urut dan pusat refleksologi di sini, pada Khamis.
Menurut Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus, warga emas itu ditahan bersama tiga majikan warga tempatan serta dua lelaki berusia 41 tahun yang merupakan penjaga premis dan pusat refleksologi berkenaan.
“Ketika serbuan dibuat sekitar jam 7.10 minit, kesemua PATI (pendatang asing tanpa izin) kelihatan pasrah kerana tidak sempat melarikan diri kerana tidak menyedari kehadiran pasukan serbuan melibatkan sepasukan pegawai Bahagian Penguatkuasaan JIM Johor serta pegawai dari Bangunan Sultan Iskandar, yang ‘masuk’ secara senyap-senyap.
“Dalam operasi tersebut kita turut memeriksa seramai 64 warga asing termasuk warga tempatan dan seramai 20 wanita warga Thailand, Myanmar dan seorang wanita berusia antara 20 hingga 42 tahun.
“Tangkapan dibuat melibatkan 20 wanita warganegara Thailand, seorang wanita warganegara Myanmar serta seorang wanita warganegara Indonesia berusia antara 20 tahun hingga 42 tahun.
“Selain itu tiga warga tempatan tersebut turut ditahan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Kesemua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
Malah sebanyak enam notis untuk hadir ke pejabat dikeluarkan kepada individu-individu sepanjang operasi tersebut bagi membantu siasatan.
Semua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Pekan Nanas, Pontian untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Sementara itu JIM Johor tegasnya, akan terus mempergiatkan lagi usaha penguatkuasaan di negeri itu bagi membanteras isu kebanjiran PATI.
“Tindakan tegas tanpa kompromi akan dikenakan terhadap PATI yang melanggar undang- undang serta majikan dan pemilik premis yang menggajikan pekerja asing tanpa dokumen perjalanan dan pas/permit yang sah,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
