Warga emas maut dilanggar ketika rakam gambar kemalangan

JOHOR BAHRU - Seorang warga emas maut selepas dilanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) ketika sedang merakamkan gambar kemalangan yang berlaku sebelum itu di kilometer (KM) 14, Lebuhraya Iskandar Sultan pada awal pagi Ahad.
Ketua Polis Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, kemalangan dipercayai berlaku sekitar jam 6.40 pagi melibatkan sebuah Perodua Alza dan seorang lelaki warga tempatan berusia 68 tahun.
Menurutnya, ketika kejadian Perodua Alza yang dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 40 tahun dari arah Jalan Prisma menuju ke Johor Bahru cuba mengelak sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CR-V yang terbabas dan melanggar batu konkrit pembahagi jalan.
“Tindakan itu menyebabkan Perodua Alza dipandunya terbabas lalu melanggar warga emas berkenaan.
“Akibat perlanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), sementara pemandu Perodua Alza mengalami kecederaan di beberapa anggota badan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes tersebut diminta menghubungi dan menyalurkan maklumat kepada Inspektor Jin Siong di talian 011-16490168 bagi membantu siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!