Doakan pembeli, warga emas jual kuih dari but kereta curi perhatian

Video Bahari meniaga kuih sejuk beku tular di TikTok.
Video Bahari meniaga kuih sejuk beku tular di TikTok.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang peniaga warga emas mencuri perhatian ramai dengan menjadikan but kereta sebagai tempat berniaga pelbagai jenis kuih sejuk beku yang dijual serendah 50 sen sebiji.

Warga emas tersebut, Bahari Abu, 75, meniaga kuih antaranya karipap, cucur badak dan pau goreng hasil air tangan isterinya, Rokiah Che Mat Mokhtar, 55, sebagai sumber pendapatan utama selepas pencen.

Menurut Rokiah, perniagaan itu bermula secara kecil-kecilan di Sungai Isap, Kuantan kerana suaminya tidak boleh memandu jauh dari rumah disebabkan oleh masalah penglihatan.

“Pak cik akan membuka but kereta untuk berniaga seawal jam 3 petang setiap hari.

“Mak cik pula akan bangun awal pagi untuk membuat kuih sejuk beku ini termasuklah membungkusnya sebelum dijual.

“Setakat hari ini, mak cik masih mengekalkan harga RM6 untuk 12 biji bagi semua jenis kuih yang dijual,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Terdahulu, tular video di TikTok milik @Fatinshafiqaa memaparkan, seorang peniaga warga emas mengucapkan terima kasih dan bersungguh menunduk ketika pelanggan membeli hasil jualannya.

Menerusi video tersebut, jelas menunjukkan keikhlasan warga emas terbabit lebih-lebih lagi dia turut menadah tangan mendoakan pembeli selepas menerima bayaran.

Mengulas lanjut, Rokiah memaklumkan, perniagaan itu dapat menampung perbelanjaan keluarga apatah lagi perlu menanggung persekolahan anak bongsu yang kini berada di Tingkatan Lima dan seorang cucu, pelajar Tingkatan Dua.

Artikel Berkaitan:

“Mak cik berniaga bukan untuk kaya. Cukup sekadar dapat menampung sedikit perbelanjaan keluarga dan bayar segala bil yang sebelum ini pernah dipotong disebabkan masalah kewangan.

“Walaupun mak cik ada anak-anak lain tetapi kalau boleh tidak mahu susahkan kerana mereka juga ada keluarga hendak ditanggung. Biarlah mak cik dan pak cik ikhtiar cara kami dengan berniaga ini,” katanya lagi.

Tambah Rokiah, dia turut menyimpan angan-angan untuk mempunyai sebuah kedai atau tempat khas bagi meneruskan perniagaan kuih sejuk beku itu.

“Mak cik risau sekiranya nanti akan mengganggu jiran-jiran. Walaupun belum mampu, mak cik berharap semoga nanti dapat menyewa tempat khas supaya senang untuk membuat kuih-kuih ini,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!