Rumah terbakar, ibu tunggal lega dapat perhatian Zakat MAINPP

BUTTERWORTH - Hilang tempat berteduh selepas rumah pusaka yang dihuni sejak sekian lama dijilat api membuatkan ibu tunggal, Masintan Syazzila Mansor, 40, buntu dengan nasib yang bakal ditempuh keluarganya.
Tragedi yang berlaku pada 21 Disember tahun lalu pastinya meninggalkan kesan mendalam buat wanita itu selepas rumah kayu yang didiami bersama ayah serta dua anaknya di Pekan Darat, di sini musnah keseluruhannya akibat litar pintas.
Mengimbau semula peristiwa yang berlaku, Masintan yang bekerja sebagai tukang masak di dalam kem tentera di sini berkata, ketika kejadian dia keluar ke pekan Teluk Air Tawar membeli barangan keperluan dapur.

Menurutnya, selepas dimaklumkan mengenai kejadian malang itu oleh anaknya, dia pasrah dengan dugaan yang terpaksa dihadapi, namun bersyukur kedua-dua orang anaknya berusia 15 dan 19 tahun terselamat daripada musibah berkenaan.
"Ketika kejadian dua orang anak berada di dalam rumah...Mujur mereka dengar bunyi letupan yang berlaku sebelum sempat menyelamatkan diri.
"Selepas dimaklumkan berkenaan kejadian itu, saya terus balik dan dari jauh lagi sudah nampak kepulan asap tebal sebelum nampak rumah pusaka kami musnah dijilat api," katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima kunjungan daripada Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).
Hadir menyampaikan bantuan, Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid yang juga Yang Dipertua MAINPP.
Dalam lawatan itu, Mohamad menyerahkan bantuan RM8,000 kepada Masintan selain mengusahkan beberapa permohonan lain termasuk Tabung Bencana TYT kepada keluarga berkenaan.
Selain itu, Masintan sekeluarga yang tidak mempunyai tempat berlindung kini ditempatkan di Pangsapuri Wakaf An-Nur yang juga milik MAINPP di Teluk Air Tawar.
Ibu tunggal yang kehilangan suaminya beberapa tahun lalu mengakui terharu dengan keprihatinan Zakat MAINPP yang membantu meringan beban mereka sekeluarga terutama dalam memulakan kembali kehidupan selepas tinggal sehelai sepinggang sebelum ini.
"Dengan pendapatan sebagai tukang masak, memang saya tak mampu nak bina semula rumah tambahan pula di situ tanah orang.
"Insya-ALLAH dengan bantuan yang diterima ini dapat membantu saya untuk membeli sikit-sikit barang keperluan untuk rumah yang kami diami sekarang," katanya lagi.
Sementara itu, Mohamad berkata, bantuan yang diberikan merupakan skim agihan secara 'one off' yang disediakan Zakat MAINPP untuk mangsa kebakaran.
Jelasnya, bantuan RM8,000 merupakan kadar maksimum yang diberikan kepada mangsa kebakaran selepas penilaian dibuat oleh pihak Zakat MAINPP manakala bantuan RM2,000 pula diberikan kepada mangsa bencana seperti mereka yang terlibat dengan kejadian ribut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!