Najib akui kerajaan BN syak plot jenayah terhadap MH370

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengakui pegawai kerajaan Malaysia pada zaman pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini ada mengesyaki suatu plot jenayah dalam tragedi kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370.

Menurutnya, laporan portal Free Malaysia Today, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan itu turut mengesahkan pihak berkuasa juga ada menyiasat motivasi politik disebabkan hubungan politik juruterbang pesawat berkenaan, Zaharie Ahmad Shah.

Bagaimanapun, beliau menegaskan rasa syak itu tidak diumumkan meskipun pembangkang ketika itu cuba menyalahkan kerajaan BN dalam urusan pengendalian tragedi MH370 pada tahun 2014.

"Sekali lagi saya tegaskan kemungkinan berlaku plot jenayah tidak pernah ditolak dalam usaha pencarian dan siasatan ke atas kes MH370, yang dijalankan sehabis mungkin.

"Namun ketiadaan bukti yang tidak dapat dipertikaikan sama ada juruterbang itu dia semata-mata bertanggungjawab (dalam kes MH370) akan dianggap tidak adil dan tidak bertanggungjawab dari segi undang-undang kerana kotak hitam dan perakam suara kokpit belum ditemui," kata Najib kepada portal itu.

Najib dalam laporan portal Free Malaysia Today tidak menamakan siapa pemimpin yang dikatakan mempunyai hubungan politik dengan Allahyarham Zaharie, namun kenyataan tidak langsung seolah-olah merujuk kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Juruterbang itu diketahui seorang ahli parti pembangkang yang pernah menghadiri pelbagai aktiviti politik dan pemimpin pembangkang itu kemudiannya mengakui juruterbang itu ada kaitan dengannya," katanya.

Pesawat MH370 didapati hilang beberapa jam selepas Anwar dijatuhkan hukuman penjara apabila Mahkamah Rayuan menterbalikkan pembebasannya dalam tuduhan meliwat bekas pembantu, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Artikel Berkaitan:

Allahyarham Zaharie dilaporkan menghadiri perbicaraan di Mahkamah Rayuan itu pada 7 Mac.

Anwar turut dikatakan mengakui ada kaitan dengan Allahyarham Zaharie menerusi perkahwinan seorang anaknya dan beliau pernah bertemu juruterbang kanan itu 'beberapa kali'.

Laporan portal itu berkata, Najib menggariskan beberapa sebab untuk pihak berkuasa mengesyaki penglibatan Allahyarham Zaharie, termasuk teori transponder pesawat ditutup pada saat penting, ketika ia akan memasuki ruang udara Vietnam.

"Teori itu menunjukkan siapa yang bertanggungjawab memiliki pengetahuan mengenai penerbangan komersil," katanya.

Selain itu, keadaan emosi Allahyarham Zaharie dan simulator penerbangan komersil di rumahnya juga turut diambil kira penyiasat.

Bagaimanapun, Najib tidak percaya sesebuah parti politik boleh dipersalahkan sekiranya benar juruterbang itu melakukan pembunuhan beramai-ramai.

"Akan tetapi, tidak boleh dipertikaikan jentera propaganda politik mereka dan mesejnya ketika itu sangat berkesan, hinggakan ramai rakyat terpedaya dan menjadi radikal sehingga taksub.

"Dakwaan seperti itu sudah terbukti pembohongan oleh pembangkang ketika itu tetapi ramai ketika itu benar-benar percaya," kata Najib.

Najib dipetik berkata, beliau turut memberi amaran orang ramai agar jangan membuat sebarang kesimpulan yang menyalahkan juruterbang itu 'kecuali dan sehingga ada kotak hitam dan perakam suara kokpit diperoleh'.

Hari ini, bekas Perdana Menteri Australia, Tony Abbott membuat pendedahan tahap tertinggi apabila mendakwa kerajaan Malaysia sejak awal percaya tragedi kehilangan pesawat itu ada kaitan plot bunuh diri.

Menurut laporan The Australian, Abbott menegaskan masa dua minggu adalah sangat jelas kepadanya bahawa pesawat itu hampir pasti sengaja dijatuhkan oleh juruterbang.

"Pemahaman saya sangat jelas, daripada peringkat tertinggi kerajaan Malaysia bahawa sejak awal-awal lagi mereka berpendapat ia adalah jenayah bunuh diri oleh juruterbang.

"Saya tidak akan mengatakan siapa kata kepada siapa. Tetapi saya menegaskan sekali lagi. Saya sangat jelas, ia difahami di peringkat tertinggi bahawa ini adalah hampir pasti bunuh diri oleh juruterbang.

"Pembunuhan diri dan penumpang lain besar-besaran oleh juruterbang," katanya melalui siri dokumentasi 'MH370: The Untold Story' yang akan ditayangkan selama dua siri bermula hari ini.

Operasi mencari dan mengesan pesawat MH370 berakhir pada Mei 2018 apabila syarikat cari gali yang berpangkalan di Amerika Syarikat Ocean Infinity gagal mengesan pesawat malang itu setelah mencari lebih 112,000 km persegi di dasar laut dalam sepanjang lebih daripada tiga bulan.

Data satelit menunjukkan pesawat itu menyimpang dari laluan, membuat siri pusingan ke Selat Melaka dan kemudian ke arah Lautan Hindi.

"Selamat malam. Malaysia tiga-tujuh-sifar," adalah kata-kata terakhir diucapkan kapten kepada kawalan trafik udara sebelum pesawat itu hilang dari radar di pada jam 01:21.

Pada Julai 2018, Pasukan Penyiasatan Keselamatan MH370, dalam laporan 449 muka surat menyimpulkan bahawa mereka tidak dapat menentukan punca sebenar kehilangan pesawat itu, tetapi tidak menolak kemungkinan bahawa 'gangguan menyalahi undang-undang' oleh pihak ketiga menyebabkan kejadian itu.