Banyak kali gencatan senjata dilanggar begitu sahaja

SEJARAH gencatan senjata antara Israel dan Hamas penuh dengan ketegangan dan pelanggaran, mencerminkan konflik yang berterusan antara kedua-dua pihak.
Walaupun terdapat beberapa usaha untuk mencapai gencatan senjata, Merak Jalanan lihat kebanyakan perjanjian ini tidak bertahan lama dan sering dilanggar.
Sejak 2008, sekurang-kurangnya empat perjanjian gencatan senjata telah dimeterai dan dipersetujui tetapi tidak bertahan lama dengan serangan dan kematian berskala besar terutamanya melibatkan rakyat Palestin.
Sehingga 2024-2025, gencatan senjata masih menjadi usaha yang rapuh dan sementara. Setiap kali perjanjian dicapai, ia sering kali dicabuli.
Israel dan Hamas terus saling menuduh satu sama lain melanggar perjanjian, dengan Israel menekankan haknya untuk mempertahankan keselamatan negara, manakala Hamas berpendapat bahawa pengepungan Gaza dan tindakan ketenteraan Israel adalah pelanggaran terhadap hak asasi manusia.
Terbaharu pula, proses damai akhirnya mencapai kesepakatan pada Rabu bagi melaksanakan gencatan senjata di Genting Gaza selepas lebih 15 bulan wilayah tersebut dihujani bom dan meragut lebih 46,000 nyawa.
Perkembangan itu memberi sinar harapan buat penduduk Gaza yang rata-ratanya hilang segala harta benda selepas kerakusan Israel membedil wilayah itu.
Biarpun begitu, Merak Jalanan tetap khuatir nasib yang bakal menimpa penduduk Gaza selepas ini kerana bila-bila masa sahaja gencatan boleh dicabuli.
Ini kerana walaupun beberapa gencatan senjata dilakukan dengan harapan mengakhiri keganasan, kegagalan untuk mengekalkan perjanjian ini mencerminkan sikap rejim Zionis yang tidak boleh dipercayai.
Jadi Merak Jalanan berharap perjanjian gencatan senjata ini bukan retorik Amerika Syarikat dan Israel semata-mata kerana rakyat Palestin sudah sekian lama berdepan kesengsaraan yang tiada noktahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!