Zionis terus perhebat serangan ke atas Gaza

DEIR AL-BALAH - Rejim Zionis memperhebatkan kempen pengeboman ke atas Genting Gaza, beberapa jam selepas pengumuman perjanjian gencatan senjata dan meragut puluhan nyawa.
Wartawan Al Jazeera, Anas al-Sharif di utara enklaf itu menyifatkan ia sebagai 'malam mengerikan' susulan serangan bertalu-talu tersebut yang didakwa pada skala tidak pernah berlaku sebelum ini.
Al-Sharif turut menunjukkan keadaan di rumah mayat yang sesak.
"Kira-kira sejam lalu, saya merakamkan wajah gembira penduduk Gaza, Tetapi, kegembiraan itu sekali lagi direnggut Zionis yang berterusan melakukan pembunuhan beramai-ramai," katanya di platform X.

Seorang lagi rakannya, Hossam Shabat juga mengesahkan bedilan ganas di utara Gaza yang menjadi medan tempur sejak dua bulan lalu.
"Situasi ini sama seperti fasa awal Perang Gaza," ujarnya.
Sementara itu, kakitangan perubatan memaklumkan lebih 30 terkorban setelah serangan udara itu berlarutan sehingga awal pagi Khamis menyasarkan kawasan di seluruh wilayah berkenaan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!