Kes Ebit Lew: PDRM perlu pandangan kedua pakar analisis forensik digital

TENOM - Mahkamah Majistret di sini diberitahu bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) memerlukan pandangan kedua daripada pakar berhubung analisis forensik digital melibatkan kes berkaitan pendakwah terkenal, Ebit Lew.
Saksi pendakwaan ke-15, Ketua Divisyen Perkhidmatan Teknologi Responsif CyberSecurity Malaysia, Mohd Zabri Adil Talib berkata, dia dimaklumkan bahawa kes itu dirujuk kepada CyberSecurity Malaysia.
"Saya telah dimaklumkan oleh Tajul Josalmin bahawa kes ini telah dirujuk kepada CyberSecurity Malaysia untuk mendapatkan pendapat pakar kedua.
"Oleh itu, saya merasakan ini adalah kes berkepentingan tinggi dan mendapat liputan semua pihak," katanya ketika memberikan keterangan dalam pemeriksaan balas oleh peguam, Datuk Ram Singh di Mahkamah Majistret Tenom di sini pada Khamis.

Dalam pemeriksaan balas, Ram turut bertanya bagaimana Mohd Zabril yang ketika itu sebagai Ketua Jabatan Forensik Digital tahu bahawa kes itu berkepentingan tinggi dan mendapat liputan meluas daripada semua pihak.
Bagaimanapun, Mohd Zabril bersetuju dengan cadangan Ram bahawa PDRM sebelum ini telahpun menyediakan laporan forensik bagi kes tersebut.
Namun, pihak CyberSecurity Malaysia tidak diberikan sebarang laporan forensik tersebut oleh PDRM.
Sebelum itu, dalam keterangan Mohd Zabril memberitahu mahkamah bahawa beliau secara peribadi tidak mengetahui apa-apa mengenai kes tersebut.
Sementara itu, dalam pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad, beliau menjelaskan kenapa analisis dan semakan laporan tersebut dibuat bersama bekas juruanalisis, Muhammad Umar Shahbuddin.
"Tidak, bukan prosedur operasi standard (SOP) di CyberSecurity Malaysia untuk seorang ketua jabatan membuat analisa dan menyemak laporan bersama juruanalisis.
"Perkara ini dilaksanakan kerana ia kes yang melibatkan kepentingan ramai dan mendapat liputan media," katanya.
Bagi menjawab soalan pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rasyidah Murni Adzmi meminta Mohd Zabril memberitahu mahkamah bahawa nombor telefon mana beliau tidak dapat keluarkan dalam proses analisis forensik tersebut.
"Yang saya maksudkan tidak dapat peroleh mesej yang telah dipadam merujuk kepada semua nombor yang mana sekiranya mesej WhatsApp telah dipadamkan ia tidak dapat dikesan semula kerana kekangan teknologi yang ada pada masa ini," katanya.
Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim, 39, berhadapan dengan 11 pertuduhan membuat hantaran gambar dan perkataan lucah bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac hingga Jun 2021 mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Perbicaraan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah dan Rasyidah Murni, manakala Ebit Lew diwakili oleh Ram dan Nizam Salleh Keruak dan Majistret ialah Nur Asyraf Zolhani.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!