Hanya perbualan WhatsApp diekstrak dari telefon Ebit Lew, pengadu - Saksi

TENOM - Mahkamah Majistret di sini diberitahu bahawa hanya perbualan melalui aplikasi WhatsApp yang diekstrak dari dalam telefon pintar milik Ebit Lew dan pengadu.
Saksi pendakwaan ke-14, bekas juruanalisis di Jabatan Forensik Digital CyberSecurity Malaysia, Muhammad Umar Shahbuddin menjelaskan bahawa tiada sebarang perbualan melalui aplikasi Instagram ditemui dalam analisis digital yang dijalankan.
Muhammad Umar turut memaklumkan kepada mahkamah yang dia tidak bersetuju berdasarkan analisis di bawah objektif kes satu hingga empat bahawa dia tidak mengekstrak sebarang mesej dari Instagram atau WhatsApp.
"Tidak bersetuju. Kerana saya telah mengekstrak perbualan WhatsApp seperti yang dinyatakan dalam objektif kes nombor empat," katanya ketika memberi keterangan dalam pemeriksaan balas oleh peguam, Datuk Ram Singh di Mahkamah Majistret Tenom di sini pada Khamis.
Seterusnya, ketika ditanya dalam pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rasyidah Murni Adzmi, Muhammad Umar diminta untuk menjelaskan objektif nombor empat tersebut.
"Merujuk kepada barang laporan forensik analisis, saya telah mengeluarkan perbualan WhatsApp seperti merujuk kepada objektif kes nombor empat," katanya.
Ditanya berdasarkan jawapan tersebut, beliau diminta menjelaskan lanjut bagaimana pula dengan perbualan dari Instagram dan seterusnya bagaimana ia berlaku.
"Tiada sebarang perbualan melalui melalui aplikasi Instagram ditemui. Maklumat berkaitan perbualan tersebut disimpan pada 'cloud' dan memerlukan akses kepada internet.
"Untuk analisis ini saya telah tetapkan pada mod pesawat yang mana tiada akses internet pada eksibit ini," katanya.
Sebelium itu, dalam keterangannya pada Rabu memaklumkan antara barang eksibit yang dianalisis adalah telefon pintar jenama Samsung Galaxy Note 20 Ultra, telefon pintar jenama Samsung Galaxy A31, kad sim dan kad memori.
Dalam prosiding sebelum ini, telefon bimbit Samsung Galaxy Note 20 Ultra merupakan milik Ebit Lew manakala telefon pintar jenama Samsung Galaxy A31 adalah milik pengadu dalam kes tersebut.
Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim, 39, berhadapan dengan 11 pertuduhan membuat hantaran gambar dan perkataan lucah bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac hingga Jun 2021 mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Perbicaraan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad dan Rasyidah Murni, manakala Ebit Lew diwakili oleh Ram dan Nizam Salleh Keruak dan Majistret ialah Nur Asyraf Zolhani.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!