Analisis forensik telefon bimbit Ebit Lew, pengadu hanya pada log panggilan - Saksi

TENOM - Saksi pendakwaan ke-14 bagi kes Ebit Lew memberitahu mahkamah bahawa analisis forensik hanya dibuat pada log panggilan telefon bimbit milik pendakwah dan pengadu kes tersebut dan bukannya panggilan daripada aplikasi WhatsApp.
Bekas jurunalisis di Jabatan Forensik Digital CyberSecurity Malaysia, Muhammad Umar Shahbuddin yang merupakan saksi ke-14 diminta menjelaskan kenyataan bertulisnya berkaitan log panggilan dalam telefon pintar dalam kes tersebut adakah ia melibatkan panggilan terus atau panggilan melalui WhatsApp.
"Untuk log panggilan keluar masuk, ia adalah panggilan daripada telefon secara terus," katanya ketika menjawab pemeriksaan utama yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rasyidah Murni Adzmi di Mahkamah Majistret Tenom, di sini pada Rabu.
Bagaimanapun beliau memberitahu mahkamah bahawa tiada sebarang rekod sekiranya panggilan log keluar dan masuk dilakukan melalui panggilan daripada aplikasi WhatsApp.
"Untuk objektif ini, saya hanya memeriksa log panggilan daripada telefon sahaja. Kerana saya hanya berdasarkan permohonan yang telah direkodkan dalam 'Service Request Form' (SRF)," jelasnya.
Diminta menjelaskan lebih lanjut, beliau memaklumkan pihak CyberSecurity Malaysia tidak boleh mengesan jika terdapat panggilan melalui aplikasi WhatsApp yang telah dipadam.
Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim, 39, berhadapan dengan 11 pertuduhan membuat hantaran gambar dan perkataan lucah bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac hingga Jun 2021 mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Perbicaraan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad dan Rasyidah Murni, manakala Ebit Lew diwakili oleh Datuk Ram Singh, Nizam Salleh Keruak, Kamarudin Mohmad Chinki dan Timothy Daut dan Majistret ialah Nur Asyraf Zolhani.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!