Perbicaraan kes Ebit Lew, pendakwa kemuka pegawai CyberSecurity sebagai saksi ke-13

TENOM - Perbicaraan pendakwah terkenal, Ebit Lew yang memasuki tahun keempat dimulakan dengan keterangan daripada pegawai CyberSecurity Malaysia, sebagai saksi pendakwaan ke-13.
Saksi pendakwaan merupakan Ketua Jabatan Forensik Digital CyberSecurity Malaysia, Tajul Josalmin Tajul Ariffin sebagai pegawai yang menerima dokumen daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tujuan analisis forensik bagi kes laporan Tenom bersabit dengan pendakwah tersebut.
Dalam keterangannya kepada mahkamah ketika pemeriksaan utama yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, Tajul telah membaca keterangan yang disediakannya dalam prosiding kali ini.
Beliau memaklumkan dokumen itu diterima pada 27 Oktober 2021 ketika bertugas sebagai Pengurus Operasi Jabatan Forensik Digital, CyberSecurity Malaysia di Cyberjaya, Selangor.
"Saya telah menerima permohonan daripada Deputi Superintenden (DSP) Noor Asyikin Shamsuri untuk menjalankan analisis terhadap aplikasi dalam talian bagi mendapatkan maklumat daripada aplikasi tersebut.
"DSP Noor Asyikin membuat permohonan kepada pihak CyberSecurity Malaysia untuk mengeluarkan maklumat pemilik akaun aplikasi Instagram, mengeluarkan butiran perbualan daripada aplikasi Instagram, mengeluarkan log panggilan, serta mengeluarkan butiran perbualan daripada aplikasi WhatsApp," katanya di Mahkamah Majistret Tenom, di sini pada Rabu.
Tajul Josalmin dalam pada itu turut memberitahu mahkamah melalui keteranganya bahawa beliau telah menandatangani borang perakuan serah dan terima barang kes pada tarik yang sama.
"Saya telah mendaftarkan permohonan tersebut ke dalam sistem pengurusan kes dan permohonan telah didaftarkan.
"Bagi kes ini saya telah menerima tiga sampul yang bertanda dan bertutup daripada PDRM. Keadaan sampul adalah baik semasa diterima dan ditutup sempurna. Kesemua item tersebut telah diberi nombor eksibit oleh CyberSecurity.
"Pada tarikh 27 Oktober 2021, saya telah menyerahkan kesemua barang kes ini kepada Muhammad Umar Shahbuddin untuk dianalisis. Selepas itu, tugas saya berkaitan kes ini selesai dan saya tiada peranan lain," katanya.
Bagaimanapun, Tajul Josalmin memaklumkan beliau tidak menjalankan analisis tersebut namun menjelaskan kenapa beliau yang menerima barang kes daripada DSP Noor Asyikin yang merupakan pegawai penyiasat dalam kes itu.
"Bagi kes berkepentingan awam, pengurus operasi akan menjadi pegawai penerima permohonan analisis, ia membolehkan untuk menyemak permohonan analisis adakah tepat bagi memastikan analisis dapat dijalankan," jelasnya.

Sebelum itu, di dalam mahkamah juga saksi tersebut diminta membuat pengecaman terhadap dua individu yang terkait dalam keterangannya iaitu DSP Noor Asyikin dan Muhammad Umar.
Selain itu, saksi turut diminta membuat pengecaman terhadap item yang diterimanya daripada PDRM termasuk sampul mengandungi telefon bimbit, simkad dan kad memori.
Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim, 39, berhadapan dengan 11 pertuduhan membuat hantaran gambar dan perkataan lucah bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac hingga Jun 2021 mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Perbicaraan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah dan Rasyidah Murni Adzmi, manakala Ebit Lew diwakili oleh Datuk Ram Singh, Nizam Salleh Keruak, Kamarudin Mohmad Chinki dan Timothy Daut dan Majistret ialah Nur Asyraf Zolhani.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!