CEO syarikat penyiaran ditahan: 'Biar polis lengkapkan siasatan dahulu'

Saifuddin ketika Sesi Tinjauan Gate Kod QR Myborderpass dan Sistem Smart Q di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, Sepang pada Sabtu.
Saifuddin ketika Sesi Tinjauan Gate Kod QR Myborderpass dan Sistem Smart Q di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, Sepang pada Sabtu.
A
A
A

SEPANG - Kes melibatkan penahanan lima individu termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah stesen penyiaran di Sarawak kerana disyaki terbabit kes pengubahan wang haram masih dalam siasatan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, biar pihak polis lengkapkan siasatan dahulu.

"Saya baru dimaklumkan oleh Ketua Polis Negara (Tan Sri Razarudin Husain) mengenai kes itu.

"Masih (kes) dalam siasatan, jadi biar pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) lengkapkan siasatan dulu," katanya ketika ditemui pemberita selepas Sesi Tinjauan Gate Kod QR Myborderpass dan Sistem Smart Q di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini pada Sabtu.

Turut hadir Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban.

Sebelum itu, media melaporkan penahanan lima individu terbabit menerusi Op Ragada pada Jumaat dilaksanakan ekoran daripada satu laporan polis yang diterima pada Oktober lalu.

Razarudin berkata, pengadu memaklumkan mengesan beberapa transaksi mencurigakan membabitkan beberapa akaun bank yang dikesan berlaku antara 2017 hingga September tahun lalu.

Lima individu berusia 26 hingga 62 tahun berkenaan termasuk seorang wanita dan seorang lelaki berjawatan CEO sebuah syarikat serta dua anaknya dan dua lagi individu dalam serbuan berasingan di Pulau Pinang dan Sarawak.

Hasil serbuan yang dijalankan, pasukan Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman merampas, membekukan dan menyita pelbagai aset seperti kenderaan, akaun bank dan dokumen dianggarkan bernilai RM17.4 juta.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613), Seksyen 409 Kanun Keseksaan, Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 403 Kanun Keseksaan dan Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!