Perbicaraan kes Ebit Lew disambung Mac depan

TENOM - Perbicaraan kes gangguan seksual melibatkan pendakwah terkenal, Ebit Lew, akan bersambung pada 11 hingga 14 Mac depan selepas ditangguhkan pada Khamis.
Perbicaraan kali ini yang sepatutnya berlangsung selama tiga hari ditangguhkan pada Khamis kerana pihak pembelaan perlu mengendalikan kes lain di Mahkamah Tinggi Sandakan pada Jumaat.
Tarikh baharu itu ditetapkan selepas kedua-dua pihak termasuk pasukan Timbalan Pendakwa Raya bersetuju dengan tarikh yang dicadangkan.
Dalam perbicaraan seterusnya nanti, saksi kelapan, Juruanalisis Unit Siasatan Jenayah Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Inspektor Yip Chang Ching dijangka dipanggil semula untuk memberi keterangan balas dalam perbicaraan tersebut.
Turut dijangka hadir memberi keterangan ialah dua lagi saksi baharu yang akan dikemukakan oleh pihak pendakwaan dalam perbicaraan itu nanti.
Pihak pendakwaan setakat ini telah memanggil 15 saksi termasuk pengadu dalam kes tersebut untuk memberi keterangan di mahkamah.
Antara saksi yang telah dipanggil memberi keterangan termasuk pendakwah, Firdaus Wong Wai Hung; Mohd Fairuz Abu atau Akhi Fairuz Al-Jengkawi; Asisten Superitenden Salwani Mohd Hadzir; Asisten Superitenden Siti Nooraini Mohd Sahid; Asisten Superitenden Norfazliyani Zolkapeli; Superitenden Hirdawati Isa; Chang Ching; Asisten Superitenden Latifah Abdul Aziz; pengadu, Koperal Shahrul Sanudin; Koperal Husni Haris Ramli @ Fauzi serta Koperal Andria Anak Empeny.
Untuk perbicaraan kali ini, tiga saksi dari CyberSecurity Malaysia turut dipanggil iaitu Ketua Jabatan Forensik Digital, Tajul Josalmin Tajul Ariffin; bekas juruanalisis di Jabatan Forensik Digital, Muhammad Umar Shahbuddin dan Ketua Divisyen Perkhidmatan Teknologi Responsif, Mohd Zabri Adil Talib.
Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim, 39, berhadapan dengan 11 pertuduhan membuat hantaran gambar dan perkataan lucah bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac hingga Jun 2021 mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Ebit Lew diwakili barisan peguamnya, Datuk Ram Singh, Timothy Daut, Kamarudin Mohmad Chinki, Nizam Salleh Keruak dan Prem Elmer Ganasan.
Pihak pendakwaan pula dibarisi oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, Analia Kamaruddin, Zahida Zakaria dan Rasyidah Murni Adzmi, manakala Majistret ialah Nur Asyraf Zolhani.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!