Lebih 300 terkandas: Pulang semula wang jemaah atau sedia diboikot

HEBOH di media sosial apabila 379 jemaah yang mahu berangkat ke Tanah Suci Makkah bagi menunaikan umrah gagal diterbangkan sebuah syarikat pelancongan terkenal.
Difahamkan, kesemua jemaah yang sepatutnya bertolak secara berperingkat mulai tidak tahan dengan syarikat berkenaan berikutan terlalu banyak memberikan alasan.
Antara sebab dikemukakan adalah hotel penginapan dibatalkan oleh pihak Arab Saudi.
Bagaimanapun, berbeza pula dengan mangsa kerana majoritinya mendakwa syarikat terbabit tidak memberikan butiran penerbangan, tempat tinggal mahupun status visa.
Bukan itu sahaja, ada antaranya mendakwa syarikat tersebut enggan memberikan sebarang kepastian pada mulanya, malah menjadikan mangsa seperti bola yang ditendang sesuka hati.
Tetapi, segelintir daripadanya berjaya mendapatkan kembali wang masing-masing selepas diasak bertubi-tubi ketika berkampung di premis syarikat berkenaan.
Menurut pengurus syarikat yang hanya dikenali sebagai Mohd Syahril, pihaknya akan melunaskan bayaran balik kepada semua jemaah secepat mungkin.
Katanya, ia bukan perkara disengajakan kerana pihaknya menerima pembatalan hotel pada saat-saat akhir dan juga penambahan harga yang tinggi.
Syarikat tersebut juga mengambil langkah untuk menunda penerbangan melalui kumpulan lebih kecil supaya penginapan ditempah dapat menampung jumlah ditetapkan.
Terbaharu, syarikat tersebut dilaporkan bakal berdepan tindakan penggantungan lesen operasi selama tujuh hari.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Khairul Firdaus Akhbar Khan memberitahu, tindakan itu akan dilaksanakan pada Rabu jika gagal memulangkan wang kepada jemaah menjelang malam Selesa.
Apa pun, diharapkan agar mangsa tabah dengan ujian yang dihadapi memandangkan masing-masing sudah lebih 30 jam berkampung dan turun padang demi menuntut kembali wang hasil titik peluh sendiri.
Impian untuk menunaikan umrah lebur begitu sahaja dek kelemahan dari segi komunikasi dan pengurusan syarikat hingga memangsakan jemaah.
Sebaiknya perkara ini diselesaikan secepat mungkin dan syarikat berkenaan perlu bertanggungjawab sepenuhnya agar jenama yang dipelopori barisan anak muda itu tidak diboikot bakal jemaah lain pada masa akan datang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!