Lebih 300 orang terkandas, syarikat gagal terbangkan jemaah umrah

Tinjauan di media sosial mendapati ramai jemaah terbabit menzahirkan kekesalan dan kekecewaan mereka dengan syarikat itu.
Tinjauan di media sosial mendapati ramai jemaah terbabit menzahirkan kekesalan dan kekecewaan mereka dengan syarikat itu.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kira-kira lebih 300 jemaah umrah terkandas apabila mereka dijanjikan untuk diterbangkan ke tanah suci pada hari ini, namun ditunda syarikat pengendali umrah.

Salah seorang jemaah yang ingin dikenali sebagai Ida mendakwa hanya diberitahu penangguhan tersebut pada petang Ahad.

Menurutnya, alasan yang diberikan oleh pihak syarikat adalah hotel penginapan telah dibatalkan oleh pihak Arab Saudi.

"Pihak syarikat memaklumkan penangguhan dibuat kepada 19 dan 24 Januari tetapi itu pun belum pasti," katanya kepada Sinar Harian.

Ida mendakwa, sewaktu dimaklumkan perkara itu, barulah terbongkar bahawa tiada tempahan tiket penerbangan untuk mereka.

Malah katanya, status visa dan hotel penginapan juga tidak dapat dipastikan.

Dia yang juga seorang suri rumah berkata, bayaran penuh RM22,000 untuk empat orang termasuk suami dan dua anak telah dijelaskan pada November tahun lalu.

"Saya kecewa kerana ini adalah umrah pertama kami sekeluarga, akhirnya jadi begini," katanya yang menuntut bayaran penuh daripada syarikat berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, tinjauan di media sosial mendapati ramai jemaah terbabit menzahirkan kekesalan dan kekecewaan mereka dengan syarikat itu.

Difahamkan ada antara mereka dari negeri lain telah terbang dan sampai ke Kuala Lumpur untuk menunaikan umrah.

Mereka kini sedang berkampung di pejabat syarikat berkenaan menuntut penjelasan dan pemulangan bayaran.

Setakat ini, hanya 17 individu yang berjaya mendapat bayaran sebelum pemilik syarikat berkenaan gagal dihubungi.

Usaha Sinar Harian menghubungi syarikat berkenaan juga gagal dan kini sedang mendapatkan maklum balas daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) berhubung insiden tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!