Penting untuk belajar ilmu kemahiran hidup di hutan

MERAK Jalanan perasan ilmu kemahiran hidup di hutan semakin dilupakan oleh generasi muda pada masa kini.
Zaman Merak Jalanan dulu, kami dapat pendedahan awal dengan pokok, lumpur dan serangga, sedangkan budak-budak zaman sekarang ramai yang bergantung sepenuhnya kepada alat moden untuk keperluan harian, sehingga lupa asas-asas survival jika berlaku situasi kecemasan.
Dalam ekspedisi ke kawasan hutan simpan yang Merak Jalanan sertai baru-baru ini, beberapa peserta tidak tahu bagaimana untuk mencari sumber air bersih atau memulakan api tanpa pemetik api.
Merak Jalanan teringat, di mana orang tua mengajarkan cara membaca arah menggunakan bintang dan membuat perangkap haiwan untuk mendapatkan makanan.
Kemahiran seperti ini bukan sahaja penting untuk memastikan keselamatan diri, tetapi juga dapat mengajar individu untuk lebih menghargai alam sekitar.
Merak Jalanan rasakan, jika masyarakat tidak mula memberi perhatian kepada ilmu seperti ini, kita berisiko kehilangan satu bahagian penting daripada warisan budaya dan tradisi.
Oleh itu, usaha perlu digiatkan untuk menghidupkan kembali kemahiran ini melalui bengkel, kem motivasi, dan program pendidikan di sekolah.
Menguasai kemahiran hidup di hutan juga dapat membina keyakinan diri, sebagai contoh kebolehan mencari makanan dari sumber semula jadi boleh menjadi kelebihan besar ketika kita sesat di hutan.
Kegiatan seperti perkhemahan atau ekspedisi hutan boleh dijadikan medium untuk memperkenalkan kemahiran ini kepada generasi muda. Aktiviti ini bukan sahaja seronok tetapi boleh buka minda mereka tentang kepentingan alam semula jadi.
Ilmu kemahiran hidup di hutan perlu terus dipertahankan dan diajarkan agar tidak luput ditelan zaman.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!