Nilai hartanah di Pantai Batu Rakit dijangka susut 50 peratus

Hakisan pantai menjejaskan fungsi ekosistem sebagai pelindung semula jadi daripada ribut dan banjir, menjadikan kawasan terlibat kurang menarik untuk pelaburan jangka panjang. - Foto Bernama
Hakisan pantai menjejaskan fungsi ekosistem sebagai pelindung semula jadi daripada ribut dan banjir, menjadikan kawasan terlibat kurang menarik untuk pelaburan jangka panjang. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA NERUS - Kesan hakisan di pesisir Pantai Batu Rakit, di sini dijangka menyebabkan penyusutan nilai hartanah sehingga 50 peratus, bergantung kepada tahap kehilangan fizikal dan kebimbangan pasaran.

Timbalan Pengarah, Pusat Pengurusan Kecemerlangan dan Inkubator Penyelidikan, Fakulti Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Asril Amirul Zakariah berkata, penyusutan nilai tanah di kawasan itu dipengaruhi beberapa faktor antaranya aspek perundangan, ekonomi dan alam sekitar.

Menurutnya, kehilangan nilai estetik dan rekreasi tanah turut menyumbang kepada penurunan daya tarikan hartanah di kawasan pesisir pantai berkenaan.

“Hakisan pantai secara umum menyebabkan nilai hartanah di kawasan pesisir mengalami penurunan antara 20 peratus hingga 50 peratus, bergantung kepada tahap kerosakan fizikal dan persepsi risiko pembeli.

“Kajian empirikal menunjukkan penurunan nilai hartanah yang ketara di kawasan seperti Crystal Bay, Melaka di mana sebidang tanah pada asalnya bernilai RM163,286.26 menyusut sebanyak RM13,625 akibat hakisan dan keperluan untuk langkah penambakan.

“Penurunan ini mewakili sembilan peratus, walaupun langkah mitigasi telah dilaksanakan. Bagi kawasan berisiko tinggi seperti Batu Rakit, anggaran penyusutan nilai hartanah boleh mencecah 50 peratus,” katanya pada Selasa.

Jelasnya, sebelum hakisan, tanah di Batu Rakit dianggarkan bernilai RM100,000 hingga RM200,000 satu ekar, bergantung kepada lokasi dan akses kepada pantai tetapi kini nilai tanah boleh menyusut kepada RM50,000 hingga RM100,000 satu ekar.

Tambah beliau, risiko fizikal seperti kemungkinan kerosakan struktur dan kemusnahan ekosistem pantai turut menjejaskan keyakinan pembeli terhadap keselamatan kawasan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, hakisan Pantai Batu Rakit memberikan kesan yang signifikan terhadap nilai tanah di mana bukan sahaja mengurangkan keluasan tanah, malah turut menjejaskan persepsi risiko dalam kalangan pembeli dan pelabur.

Tambah beliau, hakisan pantai menjejaskan fungsi ekosistem sebagai pelindung semula jadi daripada ribut dan banjir, menjadikan kawasan itu kurang menarik untuk pelaburan jangka panjang.

Bagi mengurangkan kerugian akibat hakisan pantai Asril Amirul berkata, pemilik tanah perlu mengambil pendekatan proaktif yang menggabungkan strategi mitigasi, perlindungan insurans (rumah), dan diversifikasi kegunaan tanah.

“Di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara, tanah di kawasan pesisir boleh diwartakan sebagai kawasan pemulihan pantai untuk membolehkan pembinaan benteng, penanaman bakau atau pengisian semula pantai,” katanya.

Beliau berkata, pemilik tanah juga boleh mendapatkan insurans khas untuk melindungi tanah dan struktur binaan daripada risiko hakisan sebagai langkah perlindungan kewangan.

Katanya, langkah menjual tanah pada harga rendah mungkin menjadi pilihan terakhir jika kos pemulihan dan risiko tahunan terlalu tinggi.

Bagaimanapun katanya, terdapat langkah alternatif yang boleh dipertimbangkan pemilik iaitu menyewakan tanah untuk aktiviti komersial sementara atau bekerjasama dengan pelabur bagi membangunkan tanah dengan projek mitigasi.

“Menunggu pemulihan nilai tanah selepas langkah mitigasi juga boleh menjadi strategi yang berkesan, terutama jika usaha mitigasi dijangka meningkatkan daya tarikan kawasan itu dalam jangka panjang,” katanya.

Asril Amirul berkata, hakisan Pantai Batu Rakit memberi cabaran besar kepada pemilik tanah, namun dalam masa sama membuka peluang inovasi dalam pengurusan tanah pesisir.

“Berdasarkan Kanun Tanah Negara dan kajian oleh Hamdi Abdul Hamid et al. (2023), langkah mitigasi seperti pembinaan benteng, penanaman bakau, dan penggunaan model penilaian saintifik dapat membantu mengekalkan atau memulihkan nilai tanah yang terjejas.

“Dengan pendekatan berasaskan bukti dan kerjasama dengan pihak berkuasa, pemilik tanah boleh mengurangkan risiko dan memperbaiki daya tahan kawasan pesisir untuk manfaat jangka panjang,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!