Polis keluar larangan kutip kerang di pesisir pantai Dungun

Orang ramai tidak melepaskan peluang untuk mengutip kerang yang terdampar berikutan fenomena ombak besar yang melanda di Pantai Sura pada Rabu.
Orang ramai tidak melepaskan peluang untuk mengutip kerang yang terdampar berikutan fenomena ombak besar yang melanda di Pantai Sura pada Rabu.
A
A
A

DUNGUN - Polis telah mengeluarkan larangan terhadap aktiviti mengutip kerang di pesisir pantai di Dungun susulan keadaan ombak besar dan angin kencang yang melanda ketika ini.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, ini kerana pihaknya menerima beberapa laporan mengenai aktiviti membahayakan keselamatan individu yang terlibat dalam aktiviti mengutip kerang di pesisir pantai tersebut.

"Pesisir pantai di dungun mempunyai risiko tinggi akibat daripada arus laut yang kuat dengan kelajuan angin 60 kilometer sejam (km/jam) serta ketinggian ombak sebanyak 4.4 meter serta perubahan cuaca yang tidak menentu.

"Kami mengambil serius terhadap keselamatan masyarakat setempat. Jadi larangan ini bertujuan mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

"Kami akan menjalankan pemantauan secara berkala di kawasan pesisir pantai untuk memastikan larangan ini dipatuhi," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai video menunjukkan kelihatan ramai pengunjung mengumpul kerang-kerang yang terdampar di atas pasir.

Kerang yang terdampar berikutan fenomena ombak besar dikutip oleh penduduk setempat.
Kerang yang terdampar berikutan fenomena ombak besar dikutip oleh penduduk setempat.

Pantai tersebut meriah dipenuhi orang ramai terdiri daripada golongan dewasa dan kanak-kanak dengan menggunakan pelbagai cara seperti pukat ikan dan baldi untuk mengumpul hasil laut yang melimpah.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Maizura menyeru supaya masyarakat mematuhi larangan itu dan tindakan undang-undang akan diambil terhadap individu yang didapati ingkar terhadap arahan ditetapkan.

"Masyarakat seharusnya memahami bahawa ia adalah demi kebaikan bersama. Kami berharap kerjasama daripada semua pihak bagi memastikan tiada kemalangan jiwa berlaku di kawasan pesisir pantai disebabkan aktiviti tersebut.

"Keselamatan anda semua adalah keutamaan kami," ujarnya.

Beliau turut menasihati masyarakat agar menghindari aktiviti yang berisiko tinggi di pesisir pantai terutamanya ketika cuaca buruk.

"Jaga keselamatan diri dan keluarga. Elakkan berada di kawasan yang berbahaya dan patuhi arahan pihak berkuasa

"Jika berlaku kecemasan maka segera hubungi pihak berkuasa untuk bantuan. Oleh itu, kami

berharap masyarakat agar lebih berhati-hati serta mematuhi arahan yang dikeluarkan demi keselamatan dan kesejahteraan semua," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!