Sampai bila bayi mati di taska terus berlaku

Insiden bayi mengalami kecederaan ketika di bawah jagaan taska atau pengasuh sudah berulang kali berlaku, malah ada yang melibatkan kehilangan nyawa bayi yang tak berdosa itu. Gambar hiasan
Insiden bayi mengalami kecederaan ketika di bawah jagaan taska atau pengasuh sudah berulang kali berlaku, malah ada yang melibatkan kehilangan nyawa bayi yang tak berdosa itu. Gambar hiasan
A
A
A

INSIDEN bayi mengalami kecederaan ketika di bawah jagaan taska atau pengasuh sudah berulang kali berlaku, malah ada yang melibatkan kehilangan nyawa bayi yang tak berdosa itu.

Hati ibu mana yang tidak sedih melihat anak yang dihantar sihat dan ceria pada pagi hari, tetapi pulang kaku dibaluti kain putih pada sebelah petang.

Tiada siapa mahu perkara malang ini berlaku, namun pelbagai faktor yang menjadi punca kecelakaan berlaku ketika bayi dalam jagaan dan di premis pengasuh dan taska.

Kejadian terbaharu, bapa kepada bayi berusia empat bulan, Khairul Azwan Mohamed Daud, 33, menuntut keadilan buat anaknya, Khairul Handzalah Sufi yang meninggal dunia selepas dihantar ke taska. Anak keduanya itu dihantar ke taska yang terletak di Bandar Saujana Putra dalam keadaan sihat dan ceria.

Sebelum kejadian, anaknya dibawa oleh salah seorang pengasuh taska berkenaan ke klinik dalam keadaan pucat serta didapati kebiruan pada bahagian bibir dan kaki. Anak tersebut kemudiannya disahkan meninggal dunia pada jam 5.05 petang.

Di Kuching pula, polis menahan tiga wanita terdiri daripada pemilik sebuah taska dan dua penjaga premis itu bagi membantu siasatan berhubung kes seorang bayi yang cedera dipercayai digigit. Tangkapan dibuat susulan polis menerima laporan daripada ibu bayi terbabit.

Berdasarkan laporan ibu mangsa, bayi berusia lapan bulan itu didapati mempunyai banyak bekas gigitan pada bahagian belakang badan.

Selain itu, pasangan doktor di Terengganu turut menerima nasib serupa apabila anak mereka, Ahmad Asyar Wildan yang dilahirkan normal kini mengalami cacat kekal akibat didera di taska tidak sampai seminggu dihantar ke premis berkenaan. Ahmad Asyar dihantar ke taska daerah sama didapati pulang dalam keadaan lemah dan kurang respons.

Artikel Berkaitan:

Menyedari perkara itu, ibu bapa bayi berkenaan yang dikenali sebagai Dr Syamil Hadi dan Dr Ferra Ardilla membawa anak mereka ke Hospital Sultanah Nurzahirah Kuala Terengganu sebelum disahkan retak tempurung kepala dan pendarahan otak.

Kecederaan tersebut adalah disebabkan traumatik dan pukulan yang teruk memerlukan masa yang panjang seumur hidup untuk pulih dari segi fizikal, kognitif, emosi serta tingkah laku.

Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada 16 Disember lalu menjatuhkan hukuman denda RM45,000 dan perintah khidmat masyarakat selama 180 jam kepada pelaku selepas mengaku bersalah.

Sebelum ini, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri memaklumkan, sebanyak 430 daripada 1,080 taska yang beroperasi secara haram sebelum ini sudah mendapat kelulusan beroperasi dengan sah daripada Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM).

Menurutnya, jumlah tersebut adalah setakat 4 Disember lalu dan kesemua taska itu kini telah mematuhi syarat-syarat dan yang telah ditetapkan JKM.

Beliau berkata, sebanyak 538 taska yang tidak berdaftar telah selesai dikenakan tindakan termasuklah menghentikan operasi selain diberi notis peringatan atau kompaun setakat 22 April tahun lalu.

Tindakan pemutihan dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan pengusaha mematuhi syarat ditetapkan selain perlu berdaftar dengan JKM.

Tegas beliau, taska turut diwajibkan memaparkan plak nombor pendaftaran di premis masing-masing berkuat kuasa 1 Januari lalu. Langkah itu diambil bagi memberikan keyakinan kepada ibu bapa terhadap status lesen taska yang menempatkan anak-anak mereka.

Nancy juga menggesa ibu bapa supaya menghantar anak-anak mereka ke taska dan pusat penjagaan kanak-kanak yang berdaftar.

Ini kerana, katanya, pengoperasian taska dan pusat penjagaan kanak-kanak berkenaan telah diselaraskan supaya memenuhi syarat-syarat teknikal yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta pihak berkuasa tempatan.

Diharap dengan langkah-langkah yang diambil kementerian itu, pengusaha taska akan lebih berhati-hati dan bertanggungjawab, sekali gus menoktahkan insiden melibatkan kecederaan atau kematian bayi.

*Tuan Buqhairah Tuan Muhamad Adnan ialah wartawan Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!