Bayi 4 bulan maut ada unsur cuai, pengabaian pengasuh - Polis

KUALA LANGAT - Polis mengesahkan terdapat unsur kecuaian dan pengabaian pengasuh membabitkan kes kematian bayi lelaki berusia empat bulan di sebuah taska di Bandar Saujana Putra di sini pada 3 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Akmalrizal Radzi berkata, pihaknya telah merekodkan enam keterangan termasuk pengasuh terbabit.
"Siasatan masih berjalan dan setakat ini terdapat unsur kecuaian dan pengabaian pengasuh kerana meninggalkan mangsa dalam tempoh masa yang lama tanpa pemantauan.
"Keputusan bedah siasat 'pending lab analysis'," katanya pada Sabtu.
Tambahnya, kertas siasatan telah dirujuk ke D5 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan terdapat beberapa arahan yang perlu diambil tindakan sebelum dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya.
Dalam kejadian itu, bayi dikenali Khairul Handzalah Sufi Khairul Azwan dibawa seorang pengasuh taska tersebut ke klinik di Bandar Saujana Putra dalam keadaan pucat serta didapati kebiruan pada bahagian bibir dan kaki.
Ambulans kemudian telah membawa mangsa ke Hospital Cyberjaya sebelum bayi itu disahkan meninggal dunia pada jam 5.05 petang.
Polis telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Berikutn itu, pada Khamis lepas, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor, Azmir Kassim mengesahkan taska terbabit tidak berdaftar dengan pihaknya dan telah diarah tutup.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!