Perintah larangan bersuara Titah Adendum, cubaan sekat suara rakyat - Muda

SHAH ALAM - Tindakan kerajaan memohon perintah larangan bersuara berhubung isu Titah Adendum dilihat sebagai cubaan untuk menyekat suara rakyat.
Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dalam satu kenyataan berkata, perbuatan itu mencerminkan ketakutan kerajaan terhadap ketelusan sedangkan keterbukaan seharusnya menjadi asas dalam masyarakat demokratik.
Menurutnya, rakyat berhak mengetahui mengapa Titah Adendum melibatkan hukuman penjara bekas Perdana Menteri yang telah disabitkan kesalahan rasuah dilaksanakan dengan penuh kerahsiaan.
“Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menjamin hak kebebasan bersuara rakyat Malaysia.
“Mengapa alasan isu sensitif digunakan untuk menyekat perbincangan awam berhubung perkara yang menyentuh integriti negara?
“Jika suara rakyat dianggap ancaman, siapa yang memohon perintah larangan ini dilaksanakan?” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Terdahulu, Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan memaklumkan, kerajaan akan memohon di Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan perintah larangan bersuara bagi melarang mana-mana pihak membincangkan permohonan semakan Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung isu Titah Adendum.
Katanya, permohonan dibuat kerana kes tersebut menyentuh isu sensitif.
Justeru, Muda menegaskan perbincangan terbuka adalah tonggak demokrasi dan cubaan menyekat suara rakyat menjejaskan keyakinan terhadap proses yang seharusnya bebas dan adil.
“Kerajaan perlu menjawab siapakah yang mengarahkan permohonan perintah larangan bersuara ini dan apakah kepentingan awam yang kononnya dilindungi atau semata-mata untuk kepentingan peribadi?
“Muda menyeru kerajaan menghormati Perlembagaan Persekutuan dan memastikan semua proses berkaitan kepentingan rakyat dilakukan secara telus.
“Rakyat tidak akan berdiam diri sekiranya ada usaha menyekat hak untuk bersuara,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!