Dakwa sembunyi Titah Adendum, polis rekod keterangan KJ

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil keterangan bekas menteri, Khairy Jamaluddin berhubung dakwaan komplot sembunyikan Titah Adendum dengan mengaitkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, dua laporan diterima pihaknya Jumaat lalu.

Katanya, satu kertas siasatan dibuka berhubung isu terbabit.

"Pengadu mendakwa ada membaca sebuah portal berita tempatan berhubung kenyataan Khairy yang mendakwa Azalina berkomplot menyorokkan Titah Adendum.

“Pengadu mendakwa kenyataan itu adalah tidak benar dan memburukkan imej menteri berkenaan (Azalina)," katanya pada Isnin.

Berikutan itu, kata Razarudin, Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman akan merakam percakapan Khairy pada jam 3 petang (Isnin) di pejabatnya di Jalan Setia Bakti, Bukit Damansara.

Tambahnya, siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia Malaysia 1998.

Jumaat lalu, Setiausaha Politik kepada Azalina Othman, Datuk Suraya Yaacob membuat laporan polis terhadap Khairy Jamaluddin di Balai Polis Sentul.

Artikel Berkaitan:

Menurut Suraya, kenyataan yang dibuat Khairy adalah tidak benar dan memburukkan imej Azalina sebagai menteri Kabinet.

Terdahulu, Khairy menerusi siaran audio siar 'Keluar Sekejap' mendakwa terdapat krisis kepercayaan terhadap bekas partinya UMNO susulan isu Titah Adendum yang melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Khairy dikatakan turut mendakwa Azalina bersubahat menyembunyikan dokumen tambahan yang membenarkan Najib menghabiskan hukuman pemenjaraannya dengan menjalani tahanan di rumah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!