Permohonan gag order cetus polemik

Laporan muka Sinar Harian berhubung isu permohonan larangan bersuara mengenai Titah Adendum.
Laporan muka Sinar Harian berhubung isu permohonan larangan bersuara mengenai Titah Adendum.
A
A
A

CADANGAN kerajaan mahu memfailkan permohonan perintah larangan bersuara (gag order) untuk melarang sesiapa sahaja daripada membincangkan isu berkaitan kes permohonan semakan kehakiman mengenai keabsahan dan ketulenan Titah Adendum kini mencetuskan pelbagai polemik dalam kalangan pengamal undang-undang, ahli politik dan juga rakyat.

Ini susulan kenyataan Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan yang mewakili kerajaan yang menegaskan, Pejabat Peguam Negara (AGC) berbuat demikian demi melindungi institusi raja kerana kes tersebut menyentuh isu sensitif.

Manakala, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pula membantah permohonan berkenaan kerana ia membabitkan berkepentingan awam dan sudah menjadi topik perbincangan hangat termasuk di Parlimen.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, pula berpandangan permohonan pasukan pendakwaan itu kurang wajar diteruskan kerana persoalan pokok kes semakan kehakiman yang bakal didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur nanti.

Persoalan utama yang bakal dibangkitkan di mahkamah nanti adalah bagi menentukan sama ada Titah Adendum yang dihantar Yang di-Pertuan Agong ke-16 kepada Peguam Negara pada 29 Januari 2024, tulen dan sah atau tidak untuk digunakan.

Jika dokumen berkenaan tulen, maka mahkamah tinggi perlu menentukan sama ada Titah Adendum berkenaan boleh dilaksanakan atau tidak mengikut Perlembagaan Persekutuan atau boleh diketepikan begitu.

Ini kerana isu kewujudan Titah Adendum sudah terungkai apabila mahkamah rayuan mengesahkan surat berkenaan wujud dan memerintahkan semakan kehakiman didengar atas merit di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Justeru, persoalan yang ditimbulkan ialah kenapa pihak berkuasa dan kerajaan tidak mendedahkan kewujudan Titah Adendum terbabit lebih awal? Adakah wujud arahan supaya titah berkenaan tidak didedahkan kepada umum?

Artikel Berkaitan:

Namun pada Sabtu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak pernah menyorok Titah Adendum untuk membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Sebaliknya Anwar berkata, beliau antara individu awal membawa perkara tersebut di dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan berserta alasan-alasan pengampunan.

Berbalik kepada isu gag order, seorang peguam, Muhammad Akram Abdul Aziz berkata, di sesetengah negara, ia berfungsi untuk memastikan juri-juri daripada terpengaruh dengan sebarang siaran atau laporan berita kerana dikhuatiri juri-juri ini tidak dapat memberikan keputusan yang adil dan telus jika terpengaruh.

“Namun memandangkan Malaysia tidak menggunakan sistem juri dalam prosiding undang-undang di mahkamah, maka gag order mungkin dilihat sebagai suatu perintah yang menyekat laporan berkenaan sesuatu kes dibuat secara keseluruhan atau ‘in toto’ atas apa-apa sebab,” katanya.

Justeru, Mohamed Haniff Khatri menggesa supaya perintah perlindungan dan gag order mengenai Titah Adendum tidak diteruskan.

Rakyat juga tidak wajar dihalang untuk membincangkan isu berkaitan Titah Adendum kerana kebebasan bersuara adalah hak rakyat yang dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, jika ada tulisan atau kenyataan dikeluarkan mana-mana pihak yang melampaui batas maka pihak AGC atau Perdana Menteri atau pihak lain mempunyai hak memfailkan saman fitnah sivil terhadap pihak berkaitan.

Pihak pendakwa raya juga boleh membuat permohonan untuk memulakan prosiding pengkomitan atau menghina mahkamah terhadap individu yang didapati melakukan kesalahan berkenaan.

Justeru, Mohamed Haniff Khatri melihat pandangan ilmiah oleh peguam, ahli akademik dan pihak lain yang sejajar dengan peruntukan Perlembagaan tidak mungkin dari segi undang-undang boleh menjejaskan perkara diputuskan mahkamah tinggi nanti.

Selain itu, mahkamah juga mempunyai kuasa memberi takrifan sendiri biarpun terdapat peguam dan ahli akademik menyatakan pendapat masing-masing secara ilmiah.

Mohamed Haniff Khatri turut menasihatkan pengguna media sosial dan penyokong mana-mana parti politik supaya tidak memutarbelitkan fakta sehingga menjejaskan tugas mahkamah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!